Pembantu saya tidak ambil wang – Lau

Oleh Rahmah Ghazali

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San mendedahkan hari ini bahawa terdapat khabar angin mengenai dakwaan dua pembantunya mengutip wang daripada penjaja-penjaja haram di SS2, Damansara Utama.

Atas arahan Lau, kedua-dua pembantunya Dariff Din dan Ning Sang telah membuat laporan polis bulan lalu menyatakan mereka tidak bersalah.

Laporan polis dibuat walaupun Lau mengingatkan mereka bahawa mereka boleh disiasat jika laporan-laporan itu didapati oleh pihak polis sebagai palsu dan dakwaan terhadap mereka adalah benar.

Dalam laporannya, Dariff menyatakan tersebar dalam SMS mendakwa beliau dan Ning mengutip RM5 daripada setiap penjaja haram setiap bulan di SS2, bagi mendapatkan permit perniagaan yang sah dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Kami dengan sekeras-kerasnya membantah dakwaan itu kerana kami tidak melakukannya dan kami tidak pun mempunyai kuasa untuk mengeluarkan permit perniagaan kepada mana-mana pihak," kata Dariff.

Mengenai hal ini Lau berkata, beliau sendiri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan permit perniagaan, apatah lagi para pembantunya.

Selain itu katanya, SS2 bukan terletak di kawasannya tetapi di bawah Damansara Utama, kawasan rakan DAP, Dr Cheah Wing Yin.

"Saya ingin menjelaskan bahawa SS2 bukan terletak di bawah kawasan saya dan mengeluarkan permit merupakan satu proses yang rumit. Malahan saya sendiri tidak boleh melakukannya. Jika saya tidak boleh melakukannya, maka para pembantu saya pun tidak boleh melakukannya.

"Sebab itu saya mengarahkan mereka membuat laporan polis agar membersihkan nama mereka," kata Lau, menambah, bahawa laporan polis adalah perlu untuk "melindungi mereka."

Bagaimanapun kata Lau, orang ramai mempunyai hak untuk membuat laporan polis jika ada di kalangan staf saya atau mana-mana ahli DAP, dan mereka mempunyai bukti tentang salah laku.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat atau bukti kesalahan yang dilakukan oleh staf saya atau mana-mana ahli DAP maka membuat laporan polis adalah langkah terbaik," katanya.

No comments

Powered by Blogger.