Perlunya parti politik berdakwah sambil berkebajikan

Oleh SAIDAH HAIRAN

MASIH ramai rakyat Malaysia yang perlu diberi bantuan bagi meringankan sedikit penderitaan yang ditanggung akibat kemiskinan.

Adakalanya, kesengsaraan mereka tidak dilihat sebagai satu keutamaan untuk segera diberi bantuan dan sokongan. Malah, penderitaan dan kesengsaraan rakyat di luar negara lebih mendapat perhatian daripada mereka yang berada di depan mata.


Menjejaki golongan fakir, miskin dan ibu tunggal yang melarat bukan satu kerja mudah. Berhadapan dengan mereka memerlukan kesabaran kerana ia mencetuskan perasaan ihsan yang berlebihan.


Inilah hebatnya kerja-kerja kebajikan kerana ia bukan bergerak atas nama amal kebajikan tetapi lebih penting sebagai pendakwah.

Malangnya, ramai yang memandang enteng kerja-kerja kebajikan. Lihat kebijaksanaan masyarakat Kristian yang terlalu mengutamakan kerja kebajikan.


Pengalaman gerakan Islam di luar negara seperti AK Parti di Turki, Hizbullah Lubnan, Hamas di Palestin, Parti Keadilan Sejahtera, Indonesia telah berjaya menarik sokongan rakyat melalui kerja kebajikan. Pendekatan berkhidmat sambil berdakwah adalah pendekatan yang terpuji yang wajar dicontohi.


“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum sampai ajal maut seseorang dari kamu, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau lambatkan kedatangan ajalku sekejap lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh.” - (maksud Al-Munafiquun: 10)


Menyedari kepentingan kebajikan, Bilik Berita Harakah bersama Dewan Muslimat PAS Pusat terus menyantuni masyarakat yang kurang bernasib baik khususnya di bulan Ramadan.


Sepuluh rumah ibu tunggal di Kg. Kubu Gajah, dalam Dun Semanggol, Perak menjadi keutamaan untuk diberi bantuan wang dan makanan asas seperti tepung, gula dan milo. Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama dua Exconya, Dr Najihah Ahmad mengadakan lawatan.


Basariah Lebak merupakan antara ibu tunggal yang dhaif, amat menyentuh perasaan deligasi Dewan Muslimat dan PAS Kawasan.


Suasana dalam rumahnya, sarat dengan perkakas buruk. Beliau tinggal di rumah usang bersama seorang anak lelaki yang sakit.


Di fahamkan dua beranak itu hanya menanti sumbangan daripada orang ramai untuk meneruskan kehidupan mereka.


Perjalanan menjejaki golongan kurang bernasib baik diteruskan ke kawasan Parlimen Kota Raja, Klang, Selangor.


Lebih menarik, ahli parlimennya, Dr Siti Mariah Mahmood turut berganding bahu dengan Dewan Muslimat-Harakah untuk merasai denyut nadi kesengsaraan dan penderitaan ibu-ibu tunggal dan orang susah.


Ustazah Nuridah bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan turut turun padang bersama.


Berpuasa tidak menghalang mereka mencari tiga buah rumah ibu tunggal yang perlu dibantu. Mereka diberi bantuan beras, kain, baju kanak-kanak, gula serta duit. Bantuan ibu tunggal turut disampaikan di masjid Johan Setia.

Selepas penyampaian bantuan itu, ibu-ibu tunggal serta deligasi Dewan Muslimat dan PAS Kawasan Kota Raja menikmati hidangan berbuka puasa bersama wakil rakyat mereka, Dr Siti Mariah.


Golongan tidak bernasib baik akan terus disantuni oleh Bilik Berita Harakah dan Dewan Muslimat. Sehubungan itu, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman mengucapkan jutaan terima kasih kepada dermawan yang menghulurkan bantuan kewangan ke Tabung Kebajikan Dewan Muslimat.


Sumbangan masih diperlukan untuk meneruskan agenda membantu dan menyantuni orang kurang bernasib baik. Hulurkan sumbangan terus ke akaun Maybank 564025400533.

"Rakyat Malaysia selama ini terbukti sifat kerdemawanan dan keprihatinan mereka. Pengalaman saya mengendalikan tabung khas untuk mangsa tahanan ISA begitu mengkagumkan.

"Orang ramai menyumbang dengan konsisten walaupun majoriti daripada mereka bersedekah dalam jumlah yang kecil," ujar Ahmad Lutfi. Beliau mengharapkan lebih banyak sumbangan dapat dikutip sempena Ramadan penuh keberkatan ini.

No comments

Powered by Blogger.