Saham KL dijangka diniaga rendah minggu depan

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan apabila data utama yang dikeluarkan di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan petanda kemungkinan kelemahan ekonomi yang boleh mencetuskan satu lagi pusingan sentimen
berhati-hati di kalangan pelabur.

"Pasaran dijangka bermula kukuh berikutan sentimen bulis berterusan daripada aliran meningkat pada Jumaat tetapi ia dijangka beransur lemah dengan pantas," kata seorang penganalisis.

Pasaran pulih semula pada Jumaat selepas mencatatkan kerugian tiga hari berturut-turut, sejajar dengan lantunan semula di pasaran serantau dengan kenaikan diterajui oleh Genting dan kaunter-kaunter berkaitannya susulan berita Genting New York memenangi bidaan francais perlumbaan.

Pada lewat hari kemudiannya, Jabatan Perdagangan AS mengumumkan bahawa data peruncit AS meningkat kurang daripada yang dijangkakan pada Julai dengan kenaikan hanya 0.4 peratus diterajui oleh auto dan petrol.

Tidak termasuk peniaga auto dan stesen petrol, pembelian turun 0.1 peratus.

Tuntutan orang yang tidak bekerja juga meningkat tanpa dijangka ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan, menunjukkan pemulihan ekonomi kian melemah.

Pasaran memerlukan petunjuk kukuh bahawa ekonomi AS dan global berada dilandasan pertumbuhan padu untuk ia melepasi situasi "suam-suam kuku", kata penganalisis itu.

Bagi sentimen yang lebih positif, seorang peniaga berkata momentum menurun pasaran akan menjadi peluang baik untuk membeli saham defensif pada nilai lebih baik.

"Oleh itu, kita boleh menjangkakan aktiviti pembelian saham murah sekali sekala," katanya.

OSK Research berkata paras ketahanan kukuh Indeks Komposit Kuala Lumpur Bursa Malaysia FTSE (FBM KLCI) ialah pada 1,395 dengan sokongan awal dilihat pada 1,350, diikuti paras 1,332 dan 1,326.

Mungkin berlaku jualan pendek

"Penurunan di bawah paras 1,350 mungkin menyebabkan beberapa jualan panik," kata firma penyelidikan itu.

Bagi asas mingguan, FBM KLCI turun 0.3 mata kepada 1,360.15 berbanding 1,360.45 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas susut 12.58 mata kepada 9,212.06, FBM TOP 100 turun 13.49 mata kepada 8,951.85 dan Indeks FBM Ace berkurangan 14.4 mata kepada 3,813.26.

Indeks Kewangan berkurangan 70.82 mata kepada 12,214.73, Indeks Perladangan naik 8.59 mata kepada 6,498.34 dan Indeks Perusahaan susut 3.89 mata kepada 2,651.21.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 3.939 bilion saham bernilai RM5.813 bilion daripada 4.741 bilion saham bernilai RM6.766 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 3.462 bilion saham bernilai RM5.729 bilion daripada 4.234 bilion saham bernilai RM6.653 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Ace susut kepada 199.22 juta saham bernilai RM32.095 juta daripada 251.523 juta saham bernilai RM50.776 juta.

Waran meningkat kepada 254.08 juta unit bernilai RM42.136 juta daripada 209.063 juta unit bernilai RM33.509 juta. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.