Suhakam Didesak Main Peranan Pantau Salahguna Kuasa Polis

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyiasat secara terbuka tindakan menyalahguna pasukan polis dan Light Strike Force (LSF) lalu semasa perhimpunan anti ISA dan nyalaan lilin yang diadakan secara aman dan teratur di Padang Timur, Petaling Jaya 1 Ogos lalu.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh mahu Suhakam memberi laporan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan displin terhadap pihak polis berhubung kekerasan dan tindakan melampau ke atas peserta perhimpunan.

"Kami juga berharap mendesak Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula Kanun Keseksaan (Panel Code) dan Akta Polis 1967 dan mencadangkan agar memansuhkan semua bahagian yang menghadkan kebebasan berhimpun dan bersuara.

"Kami menyeru Suhakam meneruskan pemantauan dalam setiap perhimpunan aman, malah pada masa yang sama kami juga mengesa Suhakam agar lebih proaktif dengan menjadi orang tengah antara pihak penganjur dan pihak polis sebelum sebarang perhimpunan diadakan bagi mengurangkan tekanan.

"Selain itu Suhakam juga perlu mengambil inisiatif untuk mengaktifkan bahagian 'Human Right Defenders' dalam badan tersebut dan melindungi semua aktivis dan pendukung hak asasi daripada menjadi mangsa keganasan, kekasaran dan intimidasi polis serta kerajaan," jelas Syed Noh pada pertemuan dengan Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Shaani Abdullah di ibu pejabat badan itu semalam.

Beliau mendakwa pihak polis telah mengasari rakyat tidak berdosa serta memukul peserta.

"Seramai 39 orang ditangkap di seluruh negara tanpa sebab yang munasabah termasuk di Pulau Pinang, Petaling Jaya dan Kelantan. Ini termasuk dua juvana di bawah umur ditahan beberapa jam di balai polis. Polis juga berniat jahat dengan menahan mereka yang memakai baju t-shirt berwarna merah dan hitam.

"Pihak polis menyukarkan orang awam dengan membuat sekatan jalan di semua kawasan diseluruh negara yang menganjurkan Vigil Anti ISA, tindakan polis mengambil kenyataan daripada para peguam yang mewakili orang kena tahan merupakan pencabulan hak asasi yang serius dan intimidasi polis adalah keterlaluan. Penahanan wartawan yang sedang bertugas di Kelantan bersama anaknya berumur 16 tahun adalah suatu yang sukar diterima," jelas beliau.

Sehubungan itu, Muhammad Shaani berkata sebelum perhimpunan tersebut pihaknya telah menghantar surat kepada Ketua Polis Selangor.

"Jawapan yang kita terima polis menegaskan tidak boleh diadakan perhimpunan dan sesiapa yang hadir termasuk Suhakam akan ditahan.

"Komunikasi antara saya dengan Ketua Polis Selangor itu hanya berlaku melalui sistem pesanan ringkas saja dan pendirian polis masih tidak berubah.

"Saya lihat masa yang diberikan pihak polis bagi peserta bersurai memang tidak memcukupi dan ini melanggari hak asasi manusia.

"Suhakam akan terus hadir setiap kali perhimpunan di adakan bagi mengetahui masalah sebenar yang berlaku secara tepat bukannya hanya mengikuti apa yang dijelaskan," kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.