Umno Semakin Bimbang Hilang Kuasa

Oleh Zainal Abidin Nor

KUALA LUMPUR: Kebimbangan Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong parti itu bahawa orang-orang Melayu akan hilang kuasa politik mereka pada masa depan jika terus berpecah belah, tidak berasas.

Ahli Parlimen PAS-Jerai Firdaus Jaafar berkata, isu perpaduan Melayu yang beragama Islam sering diulang-ulang dan ini mendedahkan bahawa mereka (Umno) yang sebenarnya bimbang hilang kuasa.

"Umno sebenarnya bimbang mereka akan kehilangan kuasa politik pada pilihan raya umum nanti," kata beliau ketika di wawancara Free Malaysia Today hari ini.

Menurutnya, Umno nampak pengaruh PAS semakin meluas sekarang ini, bukan sahaja di kalangan orang-orang Melayu beragama Islam tetapi juga di kalangan orang-orang bukan Islam dari berbilang kaum di negara ini.

Firdaus berkata, "isu ini juga dimainkan supaya mereka dapat memecahkan perpaduan dan kerjasama erat di antara DAP, PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat yang semakin mencabar kuasa politik mereka.

"PAS boleh menggantikan Umno dalam memperjuang dan melindungi hak-hak orang Melayu jika Umno terkubur nanti sepertimana kita buktikan di Kedah dan Kelantan," ujar beliau.

Sebaliknya beliau membidas langkah Umno menyerahkan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang kepada bukan Melayu ketika mereka memenangi 12 kerusi negeri Dewan Undangan Negeri negeri itu.

"Walaupun Umno memenangi lebih kerusi (12 kerusi), jumlah kerusi terbanyak berbanding Gerakan dan MCA, pada pilihan raya umum 2004, tetapi yang memerintah negeri itu ialah Gerakan bukan Umno," jelasnya.

Umno main sentimen takutkan orang Melayu

"Jadi memainkan sentimen bahawa orang-orang Melayu akan kehilangan kuasa adalah semata-mata untuk menakut-nakutkan orang- orang Melayu.

Firdaus, memberitahu berbanding keputusan pilihan raya umum 2004 dan 2008, sebenarnya kerusi Parlimen orang Melayu telah meningkat dari 124 kepada 130 orang.

"Ini menunjukkan wakil rakyat Melayu di Parlimen bertambah apabila Umno banyak kehilangan kerusi Parlimen dan dakwaan kuasa orang-orang Melayu semakin terhakis atau akan hilang kuasa adalah karut semata-mata," ujar beliau.

Mengenai negeri Kedah, beliau berkata negeri itu sungguh bertuah kerana mempunyai kepimpinan yang baik dan bersih dengan mendapat sokongan dari parti DAP dan PKR.

"(Menteri Besar) Ustaz Azizan (Abdul Razak) mendapat kerjasama yang baik dari berbagai pihak hingga dapat menjimatkan perbelanjaan negeri dan menghindar dari gejala rasuah.

"Inilah yang dibimbangi oleh Umno di sana kerana rakyat menyokong penuh usaha-usaha kerajaan negeri dan pucuk pimpinan negeri banyak melakukan ibadah, seperti solat dan berdoa meminta perlindungan daripada Allah SWT," tambah beliau.

No comments

Powered by Blogger.