Anwar: Kulim 'kawasan baik'

Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin beliau boleh menang di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu apabila bertanding di situ jika ia diisytiharkan kosong oleh mahkamah bulan depan.

"Pilihanraya kecil atau besar (umum), kalau (dijalankan secara) bebas, jujur dan adil, itu beres. Di Malaysia ini, kita hanya mahu memastikan ia bebas dan adil.

"Saya yakin, insya Allah. Dan kebetulan Kulim-Bandar Baharu itu berhampiran dengan kampung asal saya yang terkenal itu Cherok To'kun," kata penasihat PKR sambil berseloroh dalam sidang media pagi ini.

anwar ibrahim and kulim bandar bharu by election 290708Menurut Anwar, beliau "sudah dapat laporan bahawa kawasan itu baik".

Tambahnya, tiga parti dalam Pakatan Rakyat telah memberikan komitmen penuh untuk membantunya dalam pilihanraya kecil nanti.

Beliau bagaimanapun faham bahawa pilihanraya kecil selalunya lebih mencabar bagi seseorang calon pembangkang.

"Saya sedar, seluruh sumber kerajaan, Umno dan parti (BN). Saya ada sebut di Kulim pada malam dulu (Ahad), seluruh traktor dari Semenjanjung kini sedang bergerak ke Kulim," katanya, disambut ketawa kecil kumpulan wartawan yang membuat liputan.

Katanya, beliau sebelum ini menimbang sama ada bertanding di Bandar Tun Razak yang kini dimenangi oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga menteri besar Selangor, atau Kulim-Bandar Baharu.

"Kita melihat Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu, tetapi keputusan kita, terus (bertanding) di Kulim," kata Anwar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Beliau enggan mengulas kesediaan bekas pemimpin kanan PKR dan setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Noor mencabarnya dalam pilihanraya kecil itu.

Mahkamah akan mendengar petisyen pilihanraya calon BN Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bulan depan.

Pada pilihanraya umum 8 Mac, calon PKR Zulkifli Noordin memenangi dengan majoriti 5,583 – beliau memperolehi 22,255, manakala Aziz pula sebanyak 16,672.

Kulim-Bandar Baharu mempunyai 67.93% pemilih Melayu, 21.13% Cina dan 11.48% India daripada jumlah keseluruhan 51,444 orang.

Mengulas tawaran Umno supaya PAS membentuk kerajaan campuran di Perak, Anwar berkata perkara itu sudah dijawab oleh menteri besar Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa beliau tetap komited dengan Pakatan.

Mengulas sama ada isu muzakarah antara PAS dan Umno akan menjejaskan gabungan pembangkang yang dikepalainya, Anwar berkata:

"Ia sekarang muqabalah, bukan lagi muzarakah. Ia penting diketahui daripada aspek epistemologi.

"Muzakarah bermaksud diskusi biasa untuk mencari persefahaman. Muqabalah bermaksud, kamu berdiskusi atas pendirian kamu."

No comments

Powered by Blogger.