Tuduhan liwat palsu, tidak berasas dan bermotif politik

Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yakin tuduhan liwat ke atasnya sudah berakhir dengan pendedahan laporan doktor Pusrawi yang membuktikan tiada kesan liwat ke atas Saiful Bukhari Azlan.
Iklan




Beliau berkata, pendedahan laporan doktor Pusrawi yang disebar meluas menerusi portal berita semalam membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadapnya hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali.

Anwar dalam sidang media di ibu pejabat KeADILan berkata, beliau sekali lagi dimomokkan bahawa siasatan polis dilakukan dengan profesional kerana melengahkan penyiasatan dan cuba untuk menutup bahan bukti yang paling penting iaitu maklumagt dari doktor pertama yang ditemui oleh Saiful.

Anwar juga enggan memberi DNA kepada polis atas nasihat dan rujukan daripada Presiden Maljlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan yang menegaskan kewibawaan sistem kehakiman terus digugat begitu juga golongan profesional iaitu doktor dan peguam.

"Ini ada kaitan juga dengan keterangan yang saya kemukakan kepada polis yang mengaitkan penglibatan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Peguam Negara Ghani Patail dalam percubaan memadamkan maklumat sejak tahun 1998 dan 1999," katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga meminta pihak berkuasa supaya menjaga keselamatan doktor yang menjalankan pemeriksaan ke atas Saiful terjamin agar mereka tidak terdedah dengan apa-apa bahaya atau dihilangkan sepetimana yang dihebohkan sebelum ini.

Anwar juga berkata, beliau tidak pernah menemui doktor berkenaan dan Pusrawi juga mengesahkan laporan yang disiarkan portal berita semalam sebagai tulen dan benar.

Anwar yakin dengan kandungan laporan perubatan pertama dan pasti tiada siapa yang akan mempertikaikannya.

"Saya rasa ini sudah berakhir kerana saya ada urusan yang lebih penting untuk bersama rakyat terutama dalam pilihan raya kecil Parlimen Kulim-Bandar Baru, saya akan tumpukan kepada bahagian agenda pertumbuhan ekonomi dan pembelaan nasib rakyat," katanya.

Kini, Anwar akan menumpukan kepada masalah negara dan menggesa kerajaan supaya meninggalkan cara yang tidak profesional iaitu dendam dan politik kotor demi menghukum musuh politik.

Turut sama dalam sidang media, Peguam Sulaiman Abdullah iaitu peguam kanan yang akan memimpin pasukan peguambela seandainya kes ini diteruskan.

Beberapa pimpinan dari PAS turut serta iaitu Setiausaha Agung, Dato' Kamarudin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Ghazali.

Dalam sidang media itu, KeADILan turut mengedarkan laporan pemeriksaan Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat Anwar Ibrahim, yang menunjukkan tiada kesan pemuda itu diliwat.

Laporan sulit dua halaman daripada Hospital Pusrawi itu turut disertakan maklumat-maklumat tambahan yang menjelaskan beberapa istilah perubatan yang sukar difahami dan beberapa perkataan doktor itu yang tidak jelas.

Laporan yang disahkan milik hospital swasta di Jalan Tun Razak itu mula beredar di internet sejak semalam.

Pada 28 Jun lepas, Mohd Saiful membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sebelum membuat laporan polis, Mohd. Saiful telah mengunjungi Pusat Rawatan Islam di Jalan Tun Razak dan kemudian Hospital Kuala Lumpur.

No comments

Powered by Blogger.