BPR tahan 2 lagi pemilik bengkel


PEMERIKSAAN TELITI: Kereta Proton Perdana Exco Terengganu diperiksa pegawai BPR di Stor JKR negeri di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU: Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan dua lagi pemilik bengkel kenderaan di Terengganu lewat petang kelmarin ekoran penyenggaraan 16 Proton Perdana V6 Eksekutif milik kerajaan negeri mencecah RM1.07 juta bagi tempoh lima tahun bermula 2004.

Berikutan tangkapan terbaru itu, lima pemilik bengkel ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung isu kos penyenggaraan kenderaan rasmi milik kerajaan negeri itu yang disifatkan tidak munasabah oleh Proton Holdings Berhad (Proton) kelmarin.

Pengarah BPR negeri, Sharuddin Sapian, berkata kedua-dua pemilik bengkel kenderaan itu ditahan di Kuala Terengganu bagi membantu siasatan dan diambil keterangan. "Tiada sebarang penahanan dibuat hari ini tetapi kami tidak menolak kemungkinan menahan beberapa orang lagi bagi membantu siasatan kes ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Tinjauan Berita Harian mendapati empat daripada lapan Proton Perdana terbabit menjalani pemeriksaan teliti oleh pegawai BPR di Depoh Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu di Jalan Bukit Kecil di sini, pagi semalam.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull, berkata pihaknya akan memanggil semua pihak, termasuk pegawai kanan kerajaan dan anggota Exco kerajaan negeri, jika siasatan mendapati mereka ada kaitan dengan penyelewengan atau salah guna kuasa.

TELITI: Kereta Proton Perdana Exco Terengganu yang ditahan BBR diperiksa di Kuala Terengganu, semalam.

"Setakat ini, kita sudah ambil keterangan 10 individu, selain menahan lima pemilik bengkel memperbaiki kenderaan dan menyita lapan Proton Perdana V6 Eksekutif. Mereka yang ditahan direman mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1967 bagi membantu siasatan.

"Siasatan masih berjalan kerana kita memerlukan banyak maklumat dan akan memanggil lebih ramai lagi untuk memberi keterangan sebelum kes ini boleh diselesaikan," katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 22 Julai lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mendedahkan bahawa kerajaan negeri itu terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar sejak 2004 bagi menyenggara Proton Perdana V6 Eksekutif untuk kegunaan anggota Exco kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri membeli 14 Mercedes Benz E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta bagi menggantikan kereta nasional itu untuk menjimatkan kos.

No comments

Powered by Blogger.