Laporan perubatan tiada kesan liwat atas Saiful ada niat jahat

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latif ketika dihubungi menyifatkan, laporan Malaysiakini yang mendakwa ada laporan perubatan tiada kesan liwat ke atas Saiful berniat jahat bagi memberi gambaran tidak berlakunya perbuatan liwat.

“Laporan ini mempunyai unsur mala fide. Apa juga bentuk laporan sama ada kesan calar ada atau tidak, tiada siapa boleh buat kesimpulan liwat tidak berlaku selagi perkara berkenaan tidak dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Lagi pun jelasnya, prosedur pemeriksaan juga mestilah mengikut prosedur siasatan sekiranya ia melibatkan aduan jenayah.

Menurut Dr Latif, jika benar ada laporan doktor mengenai isu liwat berkenaan disebarkan, Saiful sebagai pesakit boleh membuat aduan kepada Majlis Perubatan Malaysia.

"Jika benar, doktor berkenaan boleh disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perubatan 1971. Ini kerana katanya, doktor mempunyai sumpah kerahsiaan dengan pesakit," jelasnya lagi.

Tambah beliau, mengikut etika tiada doktor boleh mendedahkan laporan pesakit kecuali laporan berkenaan mempunyai kaitan dengan siasatan jenayah dan dibawa ke mahkamah.

Katanya lagi, beliau berkata, jika laporan pesakit segaja didedahkan "itu adalah di luar tabie."

Sebelum ini, laman berita Malaysiakini dalam laporannya hari ini mendakwa telah memperolehi laporan dua muka surat oleh seorang doktor yang memeriksa Saiful Bukhari Azlan yang menyatakan tidak terdapat kesan liwat seperti yang didakwa.

Laporan hospital Pusrawi itu yang dikatakan telah tersebar luas memetik laporan seorang doktor, Mohd Osman Abdul Hamid yang melakukan pemeriksaan ke atas Saiful yang dikatakan telah pergi ke hospital itu terlebih dahulu sebelum menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum ini, Saiful dalam laporan polisnya mendakwa telah diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, sumber terdekat dengan rapat dengan Saiful Bukhari mempertikaikan kesahihan dokumen yang dikatakan sebagai laporan perubatan yang menyebut tiada kesan liwat terhadap Saiful.

Kata sumber itu, berdasarkan kertas yang diedarkan itu, itu bukan laporan perubatan sebaliknya hanya berupa catatan.

"Jika ia laporan perubatan, ia mestilah dalam format tertentu yang ditetapkan dan ada prosedur tertentu yang mesti dipenuhi oleh seorang doktor sebelum laporan berkenaan boleh diterima dan dibentangkan di mahkamah," kata sumber itu.

No comments

Powered by Blogger.