Dialog Umno-PAS tidak libatkan PAS sertai BN - Nasharuddin

PETALING JAYA: Timabalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, siri perbincangan yang diadakan antara Umno-PAS sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu tidak membabitkan soal PAS akan menyertai Barisan Nasional (BN) ataupun menyaksikan berulangnya perisitwa tiga dekad lalu.

PAS menyertai BN apabila ia dibentuk bagi menggantikan Perikatan selepas pilihan raya umum 1969.

Kata beliau, PAS - kini salah satu komponen Pakatan Rakyat - merupakan sebuah parti yang mempunyai kewibawaan sendiri dan Islam tetap menjadi dasar dan asas perjuangannya.

"Perjuangan kita selama ini, sejak ditubuhkan 1951, kita berjuangkan Islam dan menggunakan politik sebagai salah satu wadah.

"Sekarang ini dengan suasana dan keadaan yang ada, kalau ini merupakan sesuatu yang baik untuk Islam, bagi saya kenapa tidak?

"Tapi dengan jelas isunya bukan masuk Barisan Nasional," kata beliau dalam temu bual dengan Harakah, yang disiarkan dalam edisi 1 -15 Ogos.

Nasharuddin merupakan antara salah seorang daripada tiga pemimpin PAS yang pernah terlibat dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Presiden Umno, sejak 8 Mac lalu.

Temu bual ini diadakan sebelum - Ahad lalu - Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengesyorkan Umno dan PAS dibubarkan untuk ditubuhkan sebuah parti baru bagi orang Melayu.

Isu ini timbul di sebalik syor supaya diadakan muzakarah tetapi ditolak PAS yang mahu digantikan dengan muqabalah.

Ketika ditanya bahawa banyak pihak bimbang dengan usaha pertemuan Umno-PAS, beliau berkata:

"Kalau menafikan ataupun menidakkan ruang untuk bermuzakarah dan berbincang, bagi saya itu bercanggah dengan dasar Islam."

Tambah beliau: "Kita mesti membuka ruang yang luas untuk berbincang."

Nasharuddin juga menambah, peringkat sekarang masih lagi bersifat esplorasi dan merisik.

"Belum ada lagi sesuatu yang bersifat keputusan. Bagi saya, apa yang kita harapkan sudah tentu sesuatu yang baik untuk Islam.

"Jadi, bagi saya sesuatu yang baik untuk Islam itu harus dijadikan asas kepada pertemuan ini agar ia menguntungkan Islam, umat Islam dan perjuangan kita. Itu yang menjadi asas," katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.