Mesyuarat PAS esok bincang isu muzakarah, bukan kongsi kuasa

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat esok hanya akan membincangkan isu muzakarah antara parti itu dengan Umno dan bukan berkongsi kuasa, kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub.

"Kita akan bincang apa saja tajuk berbangkit tapi bukan untuk kongsi kuasa apatah lagi untuk runtuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang sudah mendapat mandat rakyat.

"Itu polisi kita terutama untuk isu-isu yang mempunyai kepentingan untuk rakyat dan negara," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mesyuarat tertutup yang akan berlangsung di ibu negara itu akan dihadiri semua anggota jawatankuasa PAS Pusat dan anggota Majlis Syura parti itu.

Akhbar hari ini memetik sumber melaporkan bahawa PAS akan menentukan pendirian mereka berhubung isu penubuhan kerajaan gabungan dengan Umno di Perak esok dan ia akan turut dibincangkan dalam mesyuarat esok.

Mengenai pelawaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali untuk bergabung dengan PAS bagi menubuhkan kerajaan di negeri itu sebagai simbol perpaduan politik Melayu dan Islam, Salahuddin berkata adalah "kurang manis" bagi seorang ahli politik veteran seperti Tajol Rosli mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Tajol Rosli tidak perlu buat kenyataan sedemikian sebab PAS masih dalam PR (Pakatan Rakyat) dan sudah menubuhkan kerajaan atas semangat itu.

"Sekarang adalah masa untuk kami bukti setiakawan dan PAS tidak boleh khianati rakan...seperti Umno dengan rakan-rakan dalam BN," katanya.

Katanya, Umno perlu menghormati pilihan PAS untuk 'berkahwin' dengan parti komponen Pakatan Rakyat yang lain, seperti mana PAS menghormati pilihan parti itu untuk bersama dengan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN).

Umno Perak juga harus menghormati mandat rakyat yang mahukan perubahan dan memilih untuk memberikan kepercayaan kepada parti daripada Pakatan Rakyat untuk mentadbir kerajaan negeri selepas pilihan raya umum lepas, katanya. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.