Tok Guru Pekena Umno, Karpal Terasa?


Bermula dengan kisah muzakarah, Tok Guru Nik Aziz memerangkap pemimpin Umno untuk mempolemikkan isu ini. Mulanya tiada respon, tetapi selepas Dollah mengesahkan bahawa tiga pemimpin Pas ada membuat pertemuan berasingan dengan pemimpin Umno maka jaguh-jaguh kampung Umno naik pundak.

Mulalah mereka canangkan Muzakarah Umno-Pas ini menjadi suatu kewajaran untuk masa depan Melayu dan Islam.

Belum habis kisah muzakarah, pimpinan Pas bermusyawarah. Keputusannya Pas hanya berminat bermuqabalah. Maka pimpinan Umno yang gelenyai pun mulalah bicara isu muqabalah. Ulama’ Umno dipanggil untuk terangkan maksud muqabalah dan sekonyong-konyongnya mereka menukar lagu dari muzakarah ke muqabalah.

Tok Guru pastinya ketawa geli hati melihat telatah pimpinan Umno yang begitu jakun dengan ungkapan-ungkapan ‘arab’ yang disebutkan oleh beliau. Kesian, tapi tak apalah mereka boleh belajar dan seluruh rakyat sekarang boleh cakap arab sikit-sikit.

Genap seminggu, Tok Guru membuat suatu lagi kenyataan yang mengejutkan semua. Tok Guru cadang parti Umno dan Pas bubar, kemudian bergabung untuk buat satu parti. Tajul Rosli yang gila talak pun setuju. Lantas kenyataan media dibuat untuk pujuk Pas bersatu di Perak. Tapi Ust. Ahmad Awang bijak, pelawaan itu ditolak.

Tajul dan yang lain lupa atau sengaja tak dengar ayat terakhir Tok Guru. Kedua-dua parti kena bubar kalau Umno bersetuju letak Islam sebagai jalan perjuangannya seperti Pas, bukan bubar buta-buta.

Sebelum ini pun, Tok Guru dah sebut bahawa Pas tidak akan tentang Kerajaan termasuklah Umno kalau mereka jadikan Islam sebagai perlembagaan, tapi selagi dasar sekarang tidak diubah maka, pertempuran akan terus berlaku.

Apa yang kelakar sekarang ini, Karpal pula yang terasa. Sebut sahaja Islam dan Melayu maka, melentinglah orang tua ini. Tanpa sedikit pun usul periksa, beliau terus meminta Pas bagi tunjuk sebab pada Pakatan. Bila masa Pas istihar nak masuk Umno atau BN.

Apasal karpal nak gelabah. Beliau tidak berhak untuk minta Pas ikut telunjuknya. Pas hanyalah rakan dalam Pakatan dan organisasi ini hanyalah sekadar kesepaduan politik yang mana setiap anggotanya berhak memimpin dasar parti masing-masing.

Urusan Pas dan Umno adalah urusan peribadi Pas. Pimpinan Pas tahu apa yang sedang dilakukan dan sesekali tidak akan menjual prinsip walaupun ditawarkan dengan jawatan. Pas kenal siapa kawan atau lawan. Semaklah mana-mana buku sejarah, Pas tak pernah tikam belakang atau tinggalkan rakan-rakan yang bergabung bersama Pas.

Apa yang Dap inginkan adalah negara sekular dan idea itu pastilah tidak disukai Pas. Adakah Dap sanggup menghapuskan cita-cita mereka itu untuk bersama dalam Pakatan. Pastilah tidak dan mereka akan gunakan alasan masyarakat majmuk untuk mempertegaskan cita-cita sekular mereka.

Karpal lupa bahawa sejarah Negara Islam tidak pernah menindas orang bukan Islam. Hanya sejarah sekular sahaja yang pernah menghancurkan hubungan bangsa dan agama hingga hilangnya nilai dan akhlak dalam tamadun manusia.

Jadi, dalam soal hubungan Umno dan Pas. Karpal jangan gelojoh dan masuk perangkap Umno yang sengaja mengapi-apikan isu ini bagi menyakitkan hati rakan Pakatan lain. Pimpinan Pas disemua peringkat telah sepakat, Pakatan adalah wadah perjuangan kini dan usaha hubungan dengan Umno akan tetap dilakukan jika memberikan kebaikkan kepada Pas, Pakatan dan rakyat keseluruhannya.

No comments

Powered by Blogger.