PKR Selangor tolak kaji semula kedudukan Pas

SHAH ALAM 28 Julai - Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menolak bulat-bulat cadangan DAP untuk mengkaji semula kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang itu.

Beliau berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh itu dilihat sebagai tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku dalam pakatan pembangkang berkenaan termasuk di Selangor sendiri.

Menurutnya, kerjasama PKR, DAP dan Pas ketika ini adalah mantap walaupun ada kalanya terdapat perbezaan pendapat di kalangan ketiga-tiga parti itu.

Katanya, sungguhpun Pas mengadakan perbincangan dengan UMNO, ia bukan satu kesalahan kerana perkara ini membabitkan soal politik.

"Bagi saya, Pas cuba menilai keadaannya sendiri. Namun, hubungan di antara PKR, DAP dan Pas hari ini adalah mantap seperti kenyataan yang dibuat oleh pemimpin kita sebelum ini. Kita sentiasa bekerjasama untuk kepentingan rakyat.

"Kalau ada perselisihan pun, ia adalah perkara biasa dalam politik sama ada dalam UMNO mahu pun dalam pakatan pembangkang sendiri demi kebaikan rakyat. Kalau tidak, buat apa masuk politik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Pentadbiran Tanah dan Peluang Pembangunan di Selangor di sini hari ini.

Khalid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Karpal Singh semalam, yang meminta pakatan pembangkang itu mengkaji semula keanggotaan Pas setelah tidak berpuas hati dengan tindakan parti itu mengadakan perbincangan dengan UMNO bagi memelihara perpaduan Melayu di negara ini.

Karpal yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu turut menyelar langkah Pas berbuat demikian, selain mendakwa kononnya perbincangan tersebut bersifat perkauman serta tidak sejajar dengan dasar DAP dan PKR.

Malah, kegusaran Karpal itu semakin memuncak apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ahad lalu, mencadangkan supaya UMNO dan Pas dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.

No comments

Powered by Blogger.