Chelsea mudah ratah Malaysia 2-0

SHAH ALAM - Kelab terkemuka England, Chelsea seperti dijangka mudah meratah skuad kebangsaan selepas menang 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam.

Walaupun menerima sedikit tentangan daripada anak-anak buah B. Sathianathan, The Blues bijak mengambil kesempatan daripada gerakan tidak menjadi dan kerap kehilangan bola yang dilakukan pemain Malaysia untuk menjaringkan gol menerusi Nicolas Anelka (m-28) dan Ashley Cole (m-53).

Malaysia bagaimanapun tidak menyerah begitu sahaja sebaliknya tetap mampu melakukan beberapa gerakan merbahaya namun sayangnya tidak pula menepati sasaran.

Babak pertama corak permainan bermula agak perlahan dengan kedua-dua pasukan masih berhati-hati dalam mengkaji kekuatan dan kelemahan lawan masing-masing.

Namun gerakan yang diatur Chelsea tampak lebih kemas dan merbahaya dan hanya mampu membuka jaringan sebaik kawalan Malaysia mula longgar dan kerap kehilangan bola ketika menyerang.

Gol pertama misalnya berpunca daripada satu serangan balas pantas selepas hantaran Mohd. Hardi Jaafar berjaya dirampas Joe Cole yang pantas melarikan bola dari bawah dan melorongkan kepada Anelka yang berada dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan menewaskan Helmi Eliza Elias.

Pemain tengah muda negara, Amirulhadi Zainal hampir mencatat nama selaku penjaring tetapi sepakan leretnya dari luar kotak penalti pada minit ke-38 sedikit tersasar walaupun penjaga gol Chelsea, Petr Cech sudah pun tertewas.

Itu sahaja peluang terbaik yang Malaysia peroleh sebelum rehat. Tetapi saingan babak kedua bertambah rancak apabila pemain negara mula bermain lebih pantas ketika pemain-pemain Chelsea makin tampak keletihan.

Begitu pun tanpa menurunkan Michael Ballack dalam kesebelasan utama, Chelsea menerusi satu gerakan menarik dari sebelah kanan gawang Malaysia masih tidak mampu dihalang untuk menjaringkan gol kedua.

Hasil gandingan tiga pemain sahaja telah memberi ruang kepada Ashley Cole untuk merembat menewaskan sekali lagi Helmi yang terpinga-pinga di depan gawang.

Selepas jaringan itu menyaksikan Malaysia menggandakan asakan dan hampir merapatkan kedudukan apabila Zaquan Adha Razak hanya berdepan dengan Cech tetapi gagal meloloskan diri daripada halangan pada minit ke-65.

Biar pun berusaha keras mencari gol selepas itu, pemain negara mendapati sukar untuk menembusi gawang Chelsea sehingga tamat permainan.

No comments

Powered by Blogger.