Pelajar histeria dipindah - Gangguan makin serius, 15 lagi menjerit-jerit


ORANG ramai mengaminkan doa memohon kerahmatan dan keberkatan Allah agar masalah histeria di SMK Tanjung Lumpur itu berakhir.


KUANTAN - Seramai 36 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur yang mengalami histeria baru-baru ini akan dipindahkan ke sekolah berdekatan iaitu SMK Sungai Soi dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran dengan selesa.

Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, kesemua pelajar terbabit akan dipindahkan dalam minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

"Tujuan kita (pindahkan pelajar) adalah supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran masing-masing," katanya semalam.

Dalam pada itu gangguan histeria di sekolah itu semakin buruk apabila 15 lagi pelajar perempuan menjerit-jerit dalam keadaan tidak sedar diri pagi semalam.


ZAINUREN (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Pengetua SMK Tanjung Lumpur, Abdul Khalil Sham sambil disertai warga sekolah itu di Kuantan semalam.


Seramai 14 daripada mereka merupakan mangsa berulang, manakala seorang lagi mangsa terbaru menjadikan kesemuanya 36 orang diganggu kejadian misteri yang menyelubungi sekolah tersebut lebih dua bulan lalu.

Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan, Zainuren Mohd. Nor mengesahkan kejadian itu ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatan Kuasa Permuafakatan Pendidikan bagi menyelesaikan masalah tersebut di sekolah berkenaan petang semalam.

"Kejadian hari ini (semalam) membabitkan 14 murid perempuan yang merupakan mangsa berulang, manakala seorang lagi mangsa terbaru dan menjadikan jumlah semua yang terkena histeria setakat ini ialah 36 orang," katanya.

Menurutnya, gangguan itu berlaku di antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari sebagaimana kejadian-kejadian sebelum ini.

No comments

Powered by Blogger.