Pas dan PKR Buat Keputusan Penting

LEWAT petang ini Pas dan PKR membuat dua keputusan penting. Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah membuat ketetapan tidak ada sebarang penggabungan dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan bersama, bagaimana pun membenarkan perundingan diadakan dengan Umno menerusi ruang lingkup muqabalah - bersemuka!


Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas bersama Majlis Syura Ulama yang berlangsung di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut pagi tadi. Mesyuarat berkenaan turut dihadiri sama Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kehadiran Nik Aziz menunjukkan mesyuarat yang berlangsung lima jam itu penting bagi Pas.
Nik Aziz jarang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas namun akhir-akhir ini beliau kerap diheret sama.

Pengumuman keputusan mesyuarat berkenaan dibuat oleh Abdul Hadi dan disambut dengan takbir Allahuakbar! Takbir itu menandakan kegembiraan atas keputusan berkenaan yang dinanti-nantikan ahli Pas.

Sementara itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dalam masa hampir serentak, lewat tengah hari ini mengumumkan Presidennya, Dr Wan Azizah Ismail telah meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.

Perletakan jawatan berkenaan bagi membolehkan suaminya, Anwar Ibrahim bertanding di situ untuk menempah tikit ke Parlimen dalam tempoh 60 hari dari sekarang.

Pengumuman Wan Azizah itu sekaligus menolak teka teki sebelum ini mengenai kerusi yang bakal ditandingi Anwar. Anwar terdesak untuk berada di Parlimen memandangkan tempoh untuk menumbangkang kerajaan BN sudah hampir iaitu tidak sampai 50 hari saja lagi.

Sebelum ini Anwar telah mengumumkan akan bertanding di kerusi Kulim - Bandar Baru, Kedah dan beliau juga dikatakan berminat untuk bertanding di kerusi Bandar Tun Razak.

Mungkin beliau terpaksa 'memaksa' isterinya mengosongkan kerusi Permatang Pauh memandangkan kedua kerusi berkenan (Kulim - Bandar Baru dan Bandar Tun Razak) tidak relevan dan menjamin kemenangan mutlak kepadanya nanti.

Kerusi Kulim - Bandar Baru sedang menghadapi petisyen oleh bekas calon BN, Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang meminta kerusi berkenaan istyharkan kosong. Bagaimana perbicaraan petisyen berkenaan yang sepatutnya didengar minggu lalu telah ditangguhkan sehingga 19 Ogos hadapan.

Penangguhan itu menyebabkan misi Anwar untuk masuk ke Parlimen akan menjadi lewat menyebabkan alternatif lain dicari iaitu dengan Azizah mengosongkan kerusi Permatang Pauh.

MB Selangor Khalid Ibrahim yang menyandang kerusi Bandar Tun Razak juga dikatakan bersedia untuk mengosongkan kerusi berkenaan untuk diberi laluan kepada Anwar jika ia perlu berbuat demikian.

Dengan pengumuman Wan Azizah itu, kini sudah jelas Anwar akan kembali semua ke kerusi yang pertama kali dimenanginya pada tahun 1982 itu.

Pada pilihanraya 1982 Anwar yang bertanding atas tikit Umno memenangi kerusi berkenaan dengan mendapat 14,352 undi mengalahkan calon Pas, Zabidi Mohd Ali dan calon DAP, Tan Ah Huat. Beliau mendapat 18,849 undi, Zabidi mendapat 4,497 undi manakala Ah Huat mendapat 1,825 undi.

Dalam pilihan raya 1986 dan pilihan raya umum 1990 Anwar terus mengekalkan kerusi berkenaan dengan cemerlang. Pilihan raya 1999 beliau tidak bertanding kerana tidak layak selepas beliau dipenjara selama enam tahun atas tuduhan rasuah menyalahgunakan kuasa.

Tahun 1999 kerusi berkenaan ditandingi Dr Wan Azizah dan menang dengan majoriti 9,077 undi. Tahun 2004 sekali lagi Presiden PKR itu menenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 590.

Dalam pilhan raya 8 Mac lalu Azizah terus unggul di kerusi berkenaan, menang dengan majoriti 13,388. Beliau mendapat 30,338 mengalahkan bekas Imam Masjid Negara, bermuka tirus Pirdaus Ismail yang mendapat 16,950.

Jika Anwar dicalonkan pada pilihan raya kecil ekoran tindakan Azizah itu, Penasihat PKR berkenaan diyakini akan menang dengan mudah kerana Permatang Pauh adalah lubuk dan kubu kuat Anwar sejak lebih 30 tahun lalu
mso

No comments

Powered by Blogger.