Janganlah Penyokong PAS Berbalah dengan Pemimpin Disebabkan Muqabalah


Maksud firman Allah SWT:
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal:61-62)

Lebih seminggu saya sibuk bergerak di antara KL/Ipoh/Kota Bharu kemudian balik ke Semanggol dan seterusnya berada di Ipoh selama 3 hari kerana bermesyuarat dan menghadiri Konvensyen PAS Perak Ke-13.

Saya tidak membuat sebarang posting dalam blog saya lebih seminggu kerana menunggu-nunggu agar keresahan dan kekeliruan terutama di kalangan akar umbi penyokong PAS mengenai isu apa yang dinamakan Muzakarah UMNO/PAS dapat diredakan. Ini apabila presiden Tuan Guru Hj Hadi bersama 5 ahli Majlis Syura termasuk saya membuat pertemuan dengan Tuan Guru Mursyidul Am di JKR 10, Kota Bharu pada petang Rabu 23 Julai 2008. Selepas pertemuan tersebut yang berlangsung kira-kira 1 jam, Mursyidul Am memberitahu wartawan media termasuk TV3 bahawa kenyataan beliau mengenai apa yang dikatakan Muzakarah UMNO/PAS itu tdak bercanggah langsung dengan kenyataan Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi Awang, iaitu tidak ada sebarang perbincangan atau perundingan dengan UMNO untuk membentuk kerajaan dengan UMNO/BN. Mursyidul Am menegaskan isu muzakarah sudah ditutup fail. Yang boleh diadakan ialah muqabalah atau pertemuan bersemuka untuk berbincang perkara mengenai kepentingan Islam dan rakyat amnya.

Presiden dalam sidang media yang sama juga menegaskan muqabalah boleh diadakan apabila ianya dilihat perlu untuk membincang perkara mengenai kepentingan Islam dan rakyat amnya terutama untuk mengukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Beliau mengulangi pendirian tegasnya bahawa PAS tetap bersama Pakatan Rakyat.



Dalam sidang akhbar yang sama, Timbalan Mursyidul Am, Dr Harun Din, menjelaskan bahawa muqabalah dengan pimpinan UMNO yang pernah diketuai oleh Timbalan Presiden adalah direstui oleh Majlis Syura. Keputusan majlis tersebut dalam mesyuaratnya pada 23 April yang lalu terus memberi mandat kepada pimpinan tertinggi parti iaitu Presiden sendiri, Timbalan Presiden dan beberapa orang yang lain untuk berbincang sekiranya diajak dengan mana-mana pihak termasuk UMNO bagi membincangkan perkara kepentingan Islam dan lain-lain perkara yang boleh mengukuhkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat.

Selepas sidang media selesai, Ustaz Nasaruddin Mat Isa (Timbalan Presiden) melahirkan perasaan leganya dan berkata selepas ini beliau akan dapat tidur nyenyak kerana dengan kenyataan ketiga-tiga pimpinan Syura dan parti yang utama itu, akan lenyaplah persepsi atau tuduhan pelbagai pihak bahawa beliau mengetuai rundingan untuk berpakat dengan UMNO adalah tindakan peribadi.

Bagaimanapun saya hari ini masih tertanya-tanya mengapa segala penjelasan dan penegasan yang dibuat selepas pertemuan dengan Mursyidul Am itu melalui media parti sendiri seperti Harakah Daily, akhbar Harakah dan Siasah seolah-olah tidak dapat menghapuskan kekeliruan dan meredakan kebimbangan bukan sahaja di kalangan akar umbi bahkan juga di kalangan sebahagian pemimpin-pemimpin PAS pelbagai peringkat. Apakah media perdana pro-UMNO/BN masih kuat mempengaruhi orang-orang PAS atau penyokong-penyokong Pakatan Rakyat? Di peringkat perhubungan PAS Perak, saya telah menjelaskan bahawa apa yang disebut isu muzakarah yang meletup apabila ianya didedahkan oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah satu perangkap sebagai percubaannya untuk memecah-belahkan perpaduan kalangan pimpinan Pakatan Rakyat. Di samping itu beliau cuba mengalihkan pandangan umum daripada isu-isu pertarungan dan perebutan kuasa dalam UMNO akibat pengumuman beliau mengenai peralihan kuasa pimpinan UMNO yang akan berlaku pada Jun 2010.

Sebenarnya PAS sengaja tidak mahu mengheboh-hebohkan isu pertemuan itu kerana semua pertemuan yang berlaku adalah atas ajakan UMNO khasnya presiden mereka. Memanglah benar dalam pertemuan pertama, UMNO membuat tawaran kepada PAS supaya membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di peringkat pusat dan negeri-negeri yang UMNO/BN menerima kekalahan. Tetapi dengan tegas PAS telah menolaknya dan presiden serta merta membuat kenyataan menyokong pencalonan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bagi kerajaan Pakatan Rakyat. Ini bagi menolak sangkaan kononnya PAS akan membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di Selangor. Di Perak, saya dan pimpinan PAS awal-awal lagi mengumumkan persetujuan bersama DAP dan PKR membentuk kerajaan campuran ketiga-tiga parti namun pimpinan UMNO telah berusaha untuk menggagalkannya, tetapi mereka yang gagal.

Adapun pertemuan-pertemuan yang selepasnya kira-kira lebih sebulan yang lalu juga dengan jemputan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, mereka mahu berbincang hal kepentingan Melayu dan Islam, apa salahnya pihak PAS hendak mendengar kerana kita pun memang mempunyai berbagai-bagai cadangan untuk didengar oleh pihak mereka. PAS memang sangat prihatin terhadap kepentingan umat Islam dan Islam itu sendiri yang menjadi dasar perjuangannya. PAS juga melihat bahawa sebarang masalah yang boleh mengancam kepentingan umat Islam di negara ini mesti diatasi. Kerana itu, PAS perlu bersemuka bila diajak berbuat demikian untuk tujuan tersebut. Atas keikhlasan PASlah pemimpin PAS bersedia bersemuka tapi ternyata pihak UMNO sentiasa mencari peluang untuk kepentingan mereka dan melakukan pelbagai tipu daya dengan menjadikan “isu muzakarah” sebagai kononnya usaha hendak menggabungkan PAS dengan UMNO membentuk kerajaan.

Dengan bantuan media arus perdana pro-UMNO/BN, kini PAS berhadapan dengan penyokong dan pengikut-pengikutnya termasuk kelab penyokong PAS dari kaum bukan Melayu. Saya membaca tulisan-tulisan atau berita dalam website dan blog-blog popular dan dapat memahami keresahan dan kegelisahan mereka. Di Perak saya telah dapat menjelaskan perkara ini kepada pimpinan DAP khasnya dan mereka berpuas hati dan penuh percaya pendirian PAS yang terus menolak tawaran UMNO/BN. Kepada ahli-ahli dan penyokong PAS serta pimpinan dari peringkat cawangan, kawasan dan negeri tidak perlulah mereka beremosi supaya tidak terus terperangkap dengan jerangkap yang dipasang oleh UMNO. Saya memang begitu risau menerima pesanan-pesanan SMS yang mengutuk pimpinan termasuk presiden sendiri dan timbalannya. Mereka hendaklah melihat bahawa perjuangan kita untuk membela Islam tetap diteruskan walaupun berhadapan dengan apa jua cabaran. Memang kita dalam medan politik bermusuhan dengan UMNO/BN sepanjang lebih 5 dekad. Tetapi apabila ada masa pihak musuh mengajak kita berbincang masalah yang berkait langsung dengan matlamat perjuangan kita, mengapa kita mesti menolak? Bukankah pergerakan kita berpandukan Al-Quran? Cukup sahaja merujuk kepada surah Al-Anfal, ayat 61 dan 62, di mana Allah memerintahkan umat Islam yang sedang berperang/bertempur supaya menyahut seruan musuh jika mereka menawarkan perdamaian. Kemudian kita diperintahkan berserah kepada Allah dan andainya musuh hendak menipu atau memperdaya kita, Allah menegaskan cukup sahaja Dia yang akan menolong kita.

Sukar saya hendak memahami mengapa apabila PAS berbincang mengenai kepentingan Islam dan umatnya tidak kira dengan siapa pun, ianya boleh menimbulkan prasangka seolah-olah mahu mengenepikan rakannya dalam Pakatan Rakyat. Apakah sekiranya membincangkan isu gejala sosial di kalangan orang Islam, isu murtad, isu penguatkuasaan undang-undang pantadbiran Islam yang sedia ada yang kini seolah-olah disingkirkan oleh kerajaan UMNO/BN, semua itu boleh dianggap sebagai usaha mengenepikan rakan dalam Pakatan Rakyat. Bukankah sekiranya perkara-perkara tersebut dapat diatasi secara tidak langsungnya dapat mengukuhkan kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat?

Akhirnya kepada semua penyokong dan pendokong PAS termasuk pimpinan kelab-kelab penyokong PAS supaya sentiasa mengikuti penjelasan dan penerangan mengenai apa-apa jua isu yang menyentuh parti melalui media kita, bukannya mempercayai diayah dan propaganda musuh yang tidak pernah putus-putus memutar-belit dan memanipulasi isu-isu yang boleh menguntungkan mereka. Sebagai contoh mereka terus mempermainkan istilah muzakarah yang sudah kita tukarkan dengan istilah muqabalah. Namun mereka tetap menggunakan istilah muzakarah. Sebab itu ada sahabat-sahabat yang mencadangkan kepada saya supaya muqabalah pun jangan diadakan dengan UMNO jika ia boleh menyebabkan berbalah di antara sesama PAS dan juga rakan pakatan. Saya terfikir elok juga jika cadangan ini saya bawa ke dalam mesyuarat AJK PAS Pusat bersama Majlis Syura esok pagi.

No comments

Powered by Blogger.