Umno Perak kini semakin gelabah - Mursyidul Am PAS

Umno Perak kini semakin gelabah - Mursyidul Am PAS

KOTA BHARU, 30 Julai (Hrkh) - Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pelawaan Umno untuk menubuhkan kerajaan bersama PAS di Perak menggambarkan parti itu kini semakin gelabah.

Mursyidul Am PAS berkata, pelawaan itu membuktikan parti tersebut begitu menyesal terhadap apa yang telah dilakukan terhadap PAS selama ini sehingga terpaksa mengajak untuk bergabung sekarang.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran tabung Penambahbaikan Masjid Al-Baraah dan Ceramah Israk Mikraj di perkarangan Pasar Besar Siti Khatijah hari ini katanya, tindakan seperti dilakukan Umno Perak menggambarkan mereka bermasalah.

“Kalau di dunia sudah memperlihatkan masalah, apa lagi�kalau di akhirat, lagi bermasalah,” kata beliau.

Image Kelmarin Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dilaporkan mengajak PAS menubuh kerajaan campuran di Perak sebagai simbol perpaduan Islam dan Melayu.

Ekoran tawaran tersebut Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian petang semalam membuat laporan polis kerana menyifatkan tindakan bekas Menteri Besar Perak itu mempunyai unsur-unsur rasuah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bagaimanapun berkata, keputusan mengenai perkara akan dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di Kuala Lumpur esok.

Beliau yang akan menghadiri mesyuarat itu esok menjelaskan pendiriannya tetap sama sebagaimana sebelum ini iaitu muqabalah dibolehkan dengan Umno dan tidak mungkin untuk bergabung dalam pakatan politik.

“Muqabalah dengan sesiapa sahaja boleh, sebab Islam sendiri telah mengajar pertemuan perlu diadakan sekiranya ia dapat menyelesaikan masalah masyarakat.

“Nabi Muhammad saw pernah mengadakan muqabalah dengan kaum musyrikin untuk menyelesaikan masalah masyarakat di zaman baginda.

“Begitu juga sekarang muqabalah dengan sesiapa pun boleh, tetapi jangan libatkan gabungan politik,” ujarnya. Image

Menurutnya, muqabalah, muzakarah, musyawarah atau seumpamanya tiada masalah diadakan, sebaliknya berbincang politik dengan parti lawan (Umno) perlu berhati-hati kerana peristiwa lama telah berlaku 50 tahun lalu.

Beliau menegaskan PAS memang terluka hati dengan tindakan Umno menyingkir PAS setelah bergabung dalam Barisan Nasional pada 1970-an.

“Peristiwa Memali, peristiwa Lubuk Merbau, penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kelantan dan membatal pendaratan minyak dan gas di Pantai Senok Bachok adalah antara peristiwa yang tidak mudah dilupakan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, muqabalah yang diadakan di antara pemimpin PAS dan Umno sebelum ini menyebabkan situasi tidak tenang berlaku di kalangan penyokong PAS.

“Mereka marah saya macam-macam sehingga pedih telinga mendengarnya,” ujar beliau.

http://www.harakahdaily.net

No comments

Powered by Blogger.