Khalil Yaakob ‘juara’ bida nombor plat kereta negara


Khalil Yaakob ‘juara’ bida nombor plat kereta negara

MELAKA, 30 Julai (Hrkh) - Gejala pembaziran yang berlaku di kalangan pemimpin Umno seperti ‘irama dan lagu’ yang tidak boleh dipisahkan walaupun pelbagai pendedahan telah dibuat, namun ianya tidak memberikan kesan kepada mereka.

Terbaru, Yang Dipertua (YDP) Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, yang juga merupakan bekas Menteri Besar Pahang, sekali lagi membida nombor pendaftaran kenderaan untuk dua buah kereta di Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka, sebanyak RM55,558.

Bidaan tersebut dibuat atas nama Tun Mohd Khalil Yaakob dengan nombor kad pengenalan 371229-06-5295 bagi nombor pendaftaran MBQ 1 sebanyak RM47,300 dan ianya merupakan jumlah bidaan yang tertinggi untuk nombor siri MBQ.

Manakala, beliau juga turut membida satu lagi nombor pendaftaran iaitu MBQ 11 sebanyak RM8,258 dan ini menjadikan jumlah bidaan yang dibuat oleh Tun Khalil sebanyak RM55,558.

Pada akhir November lalu, penduduk Melaka telah digemparkan apabila beliau bertindak membida dua nombor pendaftaran bagi nombor siri MBN iaitu bagi MBN 1 sebanyak RM56,100 dan MBN 8 dengan harga RM22,000 dan ini menjadikan nilai bidaan yang telah dibuat oleh Tun Khalil pada masa itu berjumlah RM78,100.

Secara keseluruhannya jumlah bidaan yang dibuat oleh Tun Khalil bagi empat buah kereta adalah sebanyak RM133,658 seterusnya mengalahkan rekod yang dipegang oleh bekas Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim yang menender nombor plat RG 1, RG 9, RG 12 dan RG 17 sehingga mencecah RM120,000.

Dalam pada rakyat dibebankan dengan kenaikkan harga minyak yang melampau sehinggakan ada yang makan pagi kais pagi, makan petang kais petang namun pada ketika yang sama pemimpin Umno-BN berlawan sesama sendiri mempamerkan kekayaan mereka secara terang kepada rakyat dan melakukan pembaziran wang rakyat tanpa rasa bersalah.

Penduduk Melaka juga mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri tergamak memberi pampasan yang sedikit, di mana cuma sebanyak RM1,600 kepada nelayan yang hilang punca pendapatan akibat daripada projek penambakan laut di sepanjang pantai Melaka tetapi pemimpin negeri boleh pula membazirkan ratusan ribu untuk membeli plat kereta!

Jadi amat wajarlah saranan Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek, supaya bacaan doa yang khas dibacakan kepada YDP Melaka selepas ‘Khutbah Jumaat’ dihentikan kerana ianya menimbulkan suasana tidak tenteram dan kurang senang di kalangan jemaah solat yang tidak mahu bersubahat mendoakan kesejahteraan hidup seorang pemimpin yang membazir.

Apatah lagi, dua individu iaitu bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Pahang, Razali Alias dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Berserah, Pahang, Dato’ Fauzi Abdul Rahman, yang masing-masing telah membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap penyalahgunaan kuasa oleh bekas Menteri Besar Pahang itu dalam isu balak.

Satu lagi laporan polis terhadap Khalil juga pernah dibuat oleh Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Pahang pada bulan September lalu tetapi kes tersebut telah diistiharkan ditutup oleh Pengarah Siasatan BPR, Dato’ Mohd Shukri Abdul, baru-baru ini.

No comments

Powered by Blogger.