Umno Perak ajak Pas bentuk kerajaan


PERJELAS: Mohd Tajol Rosli pada sidang media mengenai kerjasama Umno-Pas di Ipoh, semalam.

Permulaan ke arah perpaduan orang Melayu: Tajol Rosli

IPOH: Umno Perak semalam mengajak Pas bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh dengan wakil Pas akan terus menjadi Menteri Besar.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, berkata tawaran itu adalah permulaan ke arah merealisasikan saranan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya kedua-dua parti dibubarkan bagi menubuhkan parti baru. "Kalau nak mula kerjasama, gabungan ini boleh dimulakan di Perak. Umno Perak sedia bekerjasama dengan Pas menubuhkan kerajaan yang lebih kukuh kerana kita ada 28 kerusi (27 Umno dan satu MCA) dan Pas enam menjadi 34 kerusi," katanya pada sidang media di Bangunan Umno di sini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Perak mengulas saranan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, supaya Umno dan Pas membubarkan parti masing-masing dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatupadukan semua orang Melayu.

Ketika ini, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak mempunyai 31 kerusi iaitu enam Pas, 18 DAP dan tujuh Parti Keadilan Rakyat.



Tajol Rosli berkata, Umno Perak sedia membenarkan wakil Pas terus menjadi Menteri Besar, manakala keanggotaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) diagihkan mengikut kesesuaian antara parti gabungan.

"Saya sanggup terima Pas menjadi Menteri Besar dan saya sendiri tidak akan duduk dalam kerajaan negeri. Ini kerana kalau saya duduk dalam kerajaan, akan dikatakan saya sebagai Exco yang menguasai kerajaan Perak.

"Saya akan menjadi Adun biasa. Pada saya menjadi Adun biasa dalam kerajaan lebih baik daripada Adun biasa dalam pembangkang," katanya.

Tajol Rosli juga berkata, walaupun bersetuju dengan pandangan Nik Abdul Aziz, beliau berharap Pas bukan saja menerima orang Melayu Islam, malah kaum Bumiputera lain di negara ini.

"Jika kerjasama membentuk kerajaan Perak antara Pas-Umno ini berlaku, kita juga sedia menerima Adun dari parti lain untuk bergabung termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu pun DAP," katanya.

Mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu keanggotaan Pas dalam Pakatan Rakyat dikaji semula, Tajol Rosli berkata, jika itu berlaku ia akan membuka ruang lebih luas untuk kerjasama Umno-Pas.

No comments

Powered by Blogger.