Umno ada unsur Islam, tidak perlu dibubar kerana PAS

Umno juga merupakan sebuah parti yang mencerminkan amalan prinsip Islam, dan ia tidak perlu dibubarkan bagi membuka laluan kepada sebuah parti baru bersama PAS.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, cadangan pembubaran Umno dan PAS untuk bergabung menjadi satu parti berteraskan Islam adalah tidak perlu.

“Tidak perlu gabungan. Umno sebagai sebuah parti politik Melayu juga sememangnya berteraskan Islam,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa Umno dan PAS boleh bekerjasama dalam banyak perkara melalui perbincangan terutamanya bagi menanggani masalah orang Melayu dan Islam.

“Tidak semestinya kita bergabung, tanpa penggabungan juga kita boleh berbincang dan buat keputusan,” katanya.

Adnan turut mengakui bahawa beliau sendiri pernah mengadakan pertemuan peringkat individu dengan pemimpin PAS untuk berbincang mengenai masalah orang Melayu.

Tambah beliau penggabungan antara Umno dan PAS akan mewujudkan lebih banyak masalah kerana kedua-dua parti mempunyai prinsip-prinsip perjuangan yang berbeza.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang meragui keanggotaan PAS bersama Pakatan Rakyat kerana mengadakan perbincangan bersama Umno, beliau berkata perkara itu terpulang kepada PAS.

“Soal itu (bersama Pakatan Rakyat) adalah hak PAS. Namun pada dasarnya DAP sememangnya mahu lihat Umno dan PAS hancur,” katanya.

Katanya, sejak dahulu DAP sengaja ingin membangkitkan isu politik perkauman kerana tidak senang melihat penyatuan semua bangsa di Malaysia terutamanya masyarakat Melayu.

No comments

Powered by Blogger.