10 Adun BN T'ganu dilihat meghadap MB, Idris, Rosol, Din dijangka gugur


Oleh Buletin Online
Isnin, 07 April 2008
KT: Ahmad Said, dijangka membariskankan muka-muka baru didalam senarai exco kerajaan Terengganu sekaligus mengenepikan ‘tiga penderhaka’ yang menentang pelantikan beliau.

Sumber Buletin Online hari ini memberitahu sepuluh orang dikalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dilihat masuk ke perkarangan rumah kediaman rasmi Menteri Besar Seri Iman bermula jam 9.00 pagi sehingga 4.15 petang.

Tiga orang kuat yang digelar ‘tiga penderhaka’ oleh kebanyakkan laman web dan blogger, Idris Jusoh, Rosol Wahid dan Din Adam tidak dilihat di Seri Iman.

Sepuluh orang ADUN dipanggil ke Seri Iman hari ini merupakan proses terakhir pemilihan dan barisan Exco Terengganu setelah nama-nama berkenaan di persetujui oleh Perdana Menteri dan diperkenan oleh Istana Terengganu.

Pada 2 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau berpuas hati dengan senarai barisan exco kerajaan Terengganu yang dikemukakan oleh Ahmad Said dan menyifatkannya sebagai senarai yang bagus.

Sehubungan dengan itu, ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman di lihat memasuki Seri Iman Pada jam 9.00 pagi. Ia diikuti dengan ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad pada 9.45 pagi dan disusuli oleh ADUN Langkap, Asha’ari Idris 45 minit kemudian.

ADUN Telemong, Rozi Mamat dilihat memasuki perkarangan Seri Iman sekitar jam 11.15 pagi diikuti kemudian oleh ADUN Rantau Abang, Za’abar Mohd Adib 45 minit kemudian dan jam 12.45, muncul pula ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat.

Disebelah petang, bermula jam 2.00 petang, beberapa ADUN lagi dilihat hadir ke Seri Iman selang 45 minit seorang.

Mereka adalah ADUN Kuala Besut, Dr Abd Rahman Mokhtar, ADUN Teluk Pasu Abd Rahim Mad Said, ADUN Chukai Mohamad Awang Tera dan ADUN Bandar, Toh Chin Yaw.

Dari sepuluh orang yang menghadirkan diri ke Seri Iman pada hari ini, tiga merupakan bekas Exco yang telah dilantik semasa zaman Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.

Dengan penyenaraian sepuluh ADUN tersebut, Ahmad Said dilihat akan menamatkan ‘dinasti Idris Jusoh’ dari menduduki barisan Exco kerajaan Terengganu.

Selain tidak menyenaraikan Idris Jusoh, Ahmad Said juga menolak bekas Exco dan penyokong kuat Idris, Rosol (Ajil) dan Din Adam (Bukit Besi)

Ahmad Said juga tidak mengambil ADUN yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Idris, Muhamad Pehemi Yusof (Kota Putera) dan Abd Halim Jusoh (Permaisuri) untuk disenaraikan sebagai Exco Terengganu.

Muhamad Pehemi dan Abd Halim pernah disebut-sebut oleh para penyokong Idris akan dilantik sebagai Exco sekiranya Idris menjadi Menteri Besar.

Senarai Lengkap ADUN-ADUN yang dipanggil ke Seri Iman hari ini adalah seperti dibawah:

1. Dr. Abd Rahman Mokhtar (Kuala Besut)
2. Khazan Che Mat (Batu Rakit)
3. Asha’ari Idris (Langkap)
4. Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu)
5. Ahmad Razif Abd. Rahman (Seberang Takir)
6. Toh Chin Yaw (Bandar)
7. Za'abar Mohamed Adib (Rantau Abang)
8. Yahya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan)
9. Rozi Mamat (Telemong)
10. Mohamad Awang Tera (Chukai)

No comments

Powered by Blogger.