Benarkah Bloggers Diiktiraf?

Oleh khairulfaizi

"Nampaknya Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan yang baru betul-betul mahukan pembaharuan terhadap pendekatan dengan bloggers yang ada dalam negara Malaysia pada hari ini.

Kesungguhan beliau dapat dilihat dengan kewujudan satu segmen khas selama 20 minit dalam Warta Perdana pada setiap hari Ahad bermula 20 April ini.
Saya mengucapkan tahniah di atas kesungguhan beliau ini walaupun saya belum nampak apa sebenarnya matlamat sebenar beliau bersungguh-sungguh agar idea beliau ini menjadi realiti.


Kenyataan beliau pada 21 Mac 2008 selepas dilantik sebagai Menteri Penerangan untuk mengadakan pertemuan dengan penulis blog sebenarnya bagi saya sebagai satu kejutan kerana ia sangat bertentangan dengan pandangan daripada Datuk Zainuddin Maidin yang sebelum itu menjawat Menteri Penerangan Malaysia.


Bagi saya, perkara yang paling utama dapat dilihat daripada perkembangan ini adalah satu pengiktirafan terhadap penulis blog telah diberikan. Sebagai bukti bahawa penulis blog dan laman blog amat besar peranannya dalam mencorak masa depan negara, pada 11 Mac 2008, satu diskusi berkaitan blog bertajuk ‘Penulis dan Blog: Trend Masa Kini’ telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam diskusi tersebut, panelis-panelis telah mendedahkan bahawa sehingga Februari lalu, terdapat 108 juta laman blog yang wujud, dengan 120,000 blog baru setiap hari atau 1.4 blog sesaat.


Memandangkan bloggers merupakan golongan yang mula diberikan perhatian oleh pemerintah pada hari ini, mungkin dapat dicadangkan agar Hari Blogger Nasional atau seumpamanya dapat diwujudkan seperti mana yang telah dilakukan oleh kerajaan Indonesia yang lebih 'advance' dalam menguruskan pentadbiran mereka.


Pengisytiharan Hari Blogger Nasional pada 27 Oktober oleh Menteri Komunikasi dan Informatika, Mohamad Nuh, penulis blog menjadi sayap kedua bagi kerajaan Indonesia mendapat maklum balas yang membantu usaha mentadbir negara. Peranan blog dilihat penting oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Juwono Sudarsono bagi mendapatkan respons rakyat dalam hal-hal berkaitan polisi yang diperkenalkan.


Walaupun pelbagai pandangan diberikan oleh para bloggers namun saya bersetuju dengan segmen yang diwujudkan ini. Peluang ini mesti digunakan oleh bloggers di Malaysia untuk kita buktikan bahawa gambaran yang negatif terhadap bloggers selama ini adalah tidak benar.


Kita tunggu dan lihat siapa yang akan muncul pada 20 April 2008 nanti!


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
http://minda-kembara.blogspot.com/
3 April 2008, 9.59 malam


----------------------------------------------------


Segmen khas untuk penulis blog setiap Ahad - Berita Harian Online


KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan akan mewujudkan satu segmen khas berita setiap Ahad bagi membolehkan penulis blog atau ’bloggers’ memberikan pendapat mengenai pelbagai isu secara langsung menerusi televisyen.


Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata program itu selama 20 minit itu akan bermula 20 April ini akan disiarkan di RTM 1 sebagai salah satu segmen dalam Warta Perdana.


Beliau berkata, keputusan berkenaan bukan saja memberi ruang kepada golongan itu meluahkan pandangan masing-masing, bahkan turut membuktikan keterbukaan kerajaan dalam berurusan dengan media alternatif.


“Seperti yang dimaklumkan bahawa kementerian akan lebih terbuka dengan media alternatif, kami akan adakan slot khas ini, yang bertujuan membincangkan sebarang isu semasa atau yang ditimbulkan oleh ’bloggers’.


“Saya percaya ini langkah ke hadapan yang sentiasa ditunggu dan dialu-alukan oleh rakyat,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Angkasapuri di sini, hari ini.


Ahmad Shabery berkata, keputusan itu adalah petanda bahawa kerajaan sentiasa yakin dengan mandat yang diberi oleh rakyat sebelum ini, sekali gus menggambarkan kekuatan kerajaan yang tidak perlu bimbang dan berselindung dalam apa juga keadaan.


Mengulas mengenai pemilihan ’bloggers’ untuk ditemuramah, beliau berkata perkara itu akan ditentukan oleh panel pemilih RTM dari semasa ke semasa, bergantung kepada isu yang dibincangkan. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.