Buat Mahathir, Ku Li: Ini jawapan PM

Oleh Bernama
Isnin, 07 April 2008
KL: Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sebelum ini menegaskan tidak tunduk kepada desakan supaya meletakkan jawatan, hari ini dengan lantang dan tegas menjawab kritikan-kritikan yang dilempar terhadapnya oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Penerangan bersama Presiden Umno mengenai keputusan pilihan raya umum lepas, Perdana Menteri yang lazimnya bersikap berdiam diri terhadap kritikan Dr Mahathir, memberi isyarat sebaliknya.

Abdullah mengakui Tun Dr Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri memang mempunyai kekuatan dan pengaruh, tetapi beliau menyifatkan tokoh veteran Umno itu telah menyalahgunakan kekuatannya sehingga merugikan parti.

"Tun Mahathir kata dia kuat, tetapi beliau telah menyalah gunakannya. Dulu masa kita (BN) menang pada pilihan raya 2004, beliau berkata kuat sangat, tak boleh, tak elok, kena ada pembangkang."

"Apabila keputusan pilihan raya 2008 pembangkang naik (menang 82 daripada 222 kerusi parlimen) kita ingat dia nak celebrate (raikan), tapi kita kena hentam pula. Mengapa jadi begini?," soal Abdullah.

"Menang banyak tak boleh, dan menang sikit pun tak boleh?," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan berlawan dengan Dr Mahathir daripada nada kenyataannya itu, Abdullah berkata "saya bercakap apa yang perlu saya cakap, dan saya tidak bercakap apa yang saya tidak perlu bercakap."

Abdullah berkata beliau sedar bahawa rakyat mahu beliau mula bercakap perkara yang dianggap mereka penting dijawab supaya Umno terus kuat dan mendapat keyakinan rakyat. Abdullah juga menjawab tuduhan kononnya beliau merupakan pemimpin yang "lembik" dan membiarkan segala-galanya diputuskan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin.

"Masa saya (memerintah) tidak ada kebebasan, tetapi (dalam masa yang sama) kata saya lembik. Takut kat Si Lembik,?" tanya beliau.

"Yang lain bodoh belaka, Khairy saja pandai," katanya merujuk kepada tuduhan Dr Mahathir bahawa Abdullah membiarkan dirinya dipengaruhi oleh menantunya dalam membuat keputusan dan mentadbir negara.

"Tuduhan ini dibuat tanpa batasan dan terus hentam saja," kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.