dah la tu pak lah


Oleh Black Roses

MESKIPUN Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah sudah diangkat semula menaiki takhta Perdana Menteri hampir dua bulan lamanya, namun kepercayaan rakyat terhadap Ahli Dewan Rakyat Kepala Batas itu semakin menghilang ekoran saban hari ada sahaja kritikan meminta beliau melepaskan jawatan baik daripada parti pembangkang mahupun pemimpin-pemimpin dalam UMNO sendiri.

Pergolakan sedemikian bolehlah dianggap pertama kali berlaku dalam sejarah politik negara dan benar-benar menggugat keutuhan UMNO dan BN yang selama ini terasa 'kebal' laksana kubu kukuh yang tidak pernah ditembusi bom atau peluru dari setiap sudut. Di era Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Haji Abdul Razak, Tun Hussein Onn diikuti Tun Dr. Mahathir, situasi genting ini tidaklah seteruk sekarang walau suatu ketika UMNO sendiri pernah diharamkan pada tahun 1987.

Amatlah malangnya nasib Pak Lah jika peralihan kuasa kepada timbalannya hanya akan berlaku pada 2010. Dengan kekuatan semakin berkurangan dari hari ke hari dan Barisan Pakatan Rakyat yang diterajui PKR, DAP dan PAS semakin mendapat tempat di hati rakyat, peralihan ini barangkali menemui kegagalan kerana memakan masa terlalu lama. Dan tidak hairan keutuhan dalam Barisan Nasional boleh berubah menjadi titik hitam andai terdapat komponen dalam parti itu bersandiwara umpama melontar batu, sembunyi tangan.

Ada rakan penulis sendiri berkata, tindak tanduk Pak Lah memberi kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak turun ke akar-umbi bagi meredakan ketegangan sedia ada adalah sesuatu yang tidak kena tempatnya. Mantan-mantan Perdana Menteri dulu pun sanggup menghabiskan masa menemui peringkat bawahan sebaik sahaja berakhir sesuatu pilihanraya. Bagi mereka, ini adalah tanggungjawab yang harus dipikul bersesuaian dengan perjanjian dalam manifesto. Apabila melihat wajah Perdana Menteri secara dekat, gelora perasaan tidak puas hati dikalangan rakyat mungkin tidak ketara dan lama kelamaan mereka pasti memberi ruang untuk memperbetulkan keadaan.

Persoalannya sekarang, apakah Pak Lah masih menerima kepercayaan rakyat khususnya ahli UMNO yang menaikkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan sekaligus Perdana Menteri? Mengapa tidak dijadikan pemilihan UMNO Disember ini sebagai detik peralihan kuasa tampuk tertinggi negara dan parti? Berikan ruang seluas-luasnya kepada ahli-ahli parti dari peringkat cawangan serta bahagian mencalon dan memilih siapakah yang paling layak menduduki kerusi tertinggi UMNO tanpa sebarang syarat. Dari sudut lain, rakyat pasti akan teruja dengan keserlahan pendekatan UMNO yang mengutamakan kepentingan parti itu sendiri dan bukannya individu yang memimpinnya.
http://nakmarahmarahlah.blogspot.com

No comments

Powered by Blogger.