Hishammuddin sudah berundur, beranikah Khairy menawar diri?
Mohd Rashidi Hassan
Fri | Apr 04, 08 | 12:43:09 am MYT
Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein menarik diri dari mengekalkan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang disandang beliau selama 10 tahun sekaligus membuka laluan kepada orang baru untuk merebut jawatan pada pemilihan Umno yang dijadualkan Disember depan.
Setakat ini kedudukan Hishammuddin tidak pernah digugat. Beliau tidak pernah didesak meletakkan jawatan.
Hishammuddin tidak pernah dipersalahkan akibat kegagalan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lepas.
Namun, apabila Hishammuddin, yang bukan sahaja dilihat sebagai sepupu Timbalan Perdana Menteri, namun beliau adalah 'orang paling kanan' dalam hiraki kumpulan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, mengumumkan tidak bertanding ia menimbulkan seribu persoalan.
Atas tujuan apa beliau mengundur diri, hanya dia sahaja yang mengetahui. Tetapi tidak mustahil pendirian ini diambil kerana beliau menyedari kekuatan 'musuhnya' sudah tumpul.
Pada waktu ini, dua orang menawarkan diri untuk bertanding iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dan anak bekas Perdana Menteri, Dato' Mukhriz Mahathir. Kedua-duanya bukan musuh Hishammuddin. Malah mereka berdua, sudah menyatakan tidak akan bertanding jika Hishamuddin mengekalkan jawatan.
Maka untuk tujuan apa Hishammuddin memilih untuk mengundur diri? Apakah Hishammuddin mahu membuka perangkap? Perangkap untuk siapa?
Tidak mustahil, tindakan Hishammuddin ini boleh dilihat sebagai antara 'gerakan politik' kumpulan Najib untuk menyusun orang-orangnya sebagai persediaan menguasai parti menjelang pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Disember nanti.
Hala tuju Khairy sedang dinanti
Cumanya, orang-orang Umno sedang menunggu-nunggu orang yang disebut-sebut bertanding sebelum ini, menantu PM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyepi seribu bahasa selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lepas, memberi tamparan hebat kepada bapa mertuanya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beberapa bulan sebelum PRU, nama Khairy sentiasa dilambung dan dijulang media. Selaku Naib Ketua Pergerakan Pemuda, beliau dilihat sering diberikan tempat menyatakan pendirian bagi pihak Pemuda Umno dan ditonjolkan hingga menenggelamkan populariti Hishamuddin.
Malah, ketika Perhimpunan Agung Umno tahun lepas, Khairy dilihat begitu gagah ketika itu. Kemaraannya sudah tidak mampu disekat. Banyak sumber dalaman Umno mengatakan, orang-orang Khairy sudah disusun menguasai pemuda Umno Bahagian. Mereka hanya menanti masa yang sesuai untuk menabalkan Khairy.
Ketika itu Hishammuddin dikatakan ada menyuarakan hasrat, tidak berani mengekalkan Ketua Pemuda kerana takut kuota pencalonan tidak mencukupi.
Hishammuddin sudah terpinggir. Ketika itu beliau dikhabarkan bukan menimbang untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Malah hanya sekadar ke jawatan Majlis Tertinggi sahaja.
Sebagai Naib Ketua, Khairy lah antara yang paling layak merebut jawatan Ketua Pemuda. Namun dalam keadaan sekarang beliau tidak mempunyai taring lagi, kekuatannya sudah tumpul.
Khir Toyo dan Muhriz adalah musuh utama Khairy dalam Pergerakan Pemuda Umno. Mukhriz disabotaj beberapa tahun lepas sehingga tidak layak bertanding jawatan Naib Ketua, kerana tidak cukup kouta pencalonan.
Orang-orang Umno memang mengetahui Khir Toyo adalah antara pemimpin yang tidak disukai Khairy. Semasa menjadi MB Selangor, Khir begitu marah dengan laporan TV3 yang dikatakan banyak mensabotaj dan cuba menjatuhkannya.
Malah ada sumber-sumber memberitahu, Khairy melalui orang kanannya iaitu Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju, Dato' Norza Zakaria, mengupah bekas pemimpin KeADILan untuk menghentam Khir Toyo.
Setakat ini, Khir dikhabarkan sedia untuk bergabung dengan Muhkriz dan memberi laluan kepada Mukhriz bertanding Ketua Pemuda.
Ini merupakan ancaman paling besar kepada Khairy.
PRU ke-12 menyekat kemaraan Khairy
Jika PRU baru-baru ini, Barisan Nasional berjaya mengulangi kejayaan yang ditempa pada PRU 2004, sudah pasti Khairy tidak boleh ditolak sebagai bakal Ketua Pemuda Umno.
Namun, apa yang berlaku ternyata berbeza. Rakyat bukan sekadar menghukum BN dan komponennya seperti Umno, MCA, Gerakan dan MIC yang merudum dan hampir melingkup.
Yang utamanya rakyat menghukum Abdullah Badawi. Lebih tepat lagi sebagaimana dakwaan Dr Mahathir, antara punca utama kegagalan BN dalam PRU ke-12 lepas adalah kerana Khairy Jamaluddin.
Penegasan ini dibuat Mahathir pada sidang akhbarnya 9 Mac lepas. Penegasan bahawa Khairy punca kejatuhan BN diulangi di Petaling Jaya 1 April lepas.
Masalah besar kepada Khairy bukannya soal peluang untuk merebut jawatan Ketua Pemuda. Yang paling utama dan terdesak bagi beliau ialah, bagaimana hendak mempertahankan kedudukan bapa mertuanya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Walaupun Najib, Naib Presiden dan beberapa orang pemimpin Umno menegaskan pendirian, berdiri teguh di belakang Abdullah, belum tentu dihati kecil mereka, Abdullah layak memimpin setelah kekalahan paling teruk dan memalukan menimpa Umno/BN.
Desakan supaya Abdullah berundur, terus bergema dalam Umno. Lagi banyak desakan, lagi memeningkan kepala Khairy.
Lagi banyak kenyataan terpaksa dibuat untuk mempertahankan kedudukan Abdullah yang semakin goyah, ia menunjukkan akar umbi Umno mahukan perubahan dan tidak mahu berketuakan pemimpin yang lemah.
Jika Abdullah terpaksa melepaskan jawatan, sudah tentu masa depan politik Khairy akan musnah.
Justeru, Khairy harus membuat pertimbangan yang bijak, apakah dalam keadaan Umno sekarang, beliau cukup kuat menghadapi gandingan Muhkriz-Khir Toyo?
Menghadapi gandingan Mukhriz-Khir Toyo bukan senang. Pengunduran Hishammuddin seolah-olahnya suatu jerangkap samar buatnya. Hendak menempuh mara pun susah, jika berundur, ditempelak pula nanti.
Khairy juga harus menimbang, cukupkah sekadar mempertahankan jawatan Naib Ketua? Atau mungkin ke mana sahaja beliau pergi, orang-orang Umno sudah menyediakan lawan untuknya.
Khairy memang sedar, musuh-musuhnya dalam parti cukup banyak. Jika beliau tersungkur atau kalah bertanding, karier politiknya akan musnah.
Tetapi sebagai anak jantan, Khairy juga barangkali belum tentu mahu mengalah. Beliau juga ada pengikut setianya sendiri. Banyak mana pengikutnya, masihkah setia seramai dulu, tidak pula diketahui.
Apa pun Khairy harus sedar, nilai kesetiaan dalam Umno tidak boleh dipercayai. Hakikat membuktikan, Umno merupakan satu-satunya parti yang tercemar angkara politik wang. Ramai yang digantung dan diambil tindakan kerana terbabit politik wang.
Nilai kesetiaan dalam Umno tidak berpaksi kepada ketokohan dan jasa seorang pemimpin. Nilai kesetiaan ditentukan oleh banyak mana helaian Ringgit Malaysia yang bertaburan, menjelang dan pada waktu pemilihan dibuat.
Dalam keadaan sekarang Khairy tidak ada pilihan. Beliau terpaksa menyatakan pendiriannya, jawatan mana yang hendak direbutnya dalam kadar segera.
Atau apakah Khairy sanggup digelar orang-orang Umno sebagai politikus bacul?
No comments
Post a Comment