Keluarga Sufiah buat solat hajat

Datuk harap umat Islam turut berdoa supaya pelajar pintar kembali ke pangkal jalan

MUAR: Keluarga pelajar pintar matematik, Sufiah Yusof yang dikatakan terbabit dalam kegiatan tidak bermoral, akan mengadakan solat hajat dan berharap semua umat Islam turut berdoa supaya beliau kembali ke pangkal jalan dan pangkuan keluarga.

Datuk saudaranya, Samat Salam, 72, berkata walaupun hanya berjumpa beberapa kali dengan Sufiah ketika masih kecil, namun Sufiah tetap saudaranya dan mereka sentiasa mengharapkan kesejahteraannya.



Beliau dan isteri, Pon @ Fatimah Ali, 74, mengaku terkejut apabila mendengar berita mengenai Sufiah berkata, masyarakat Islam perlu berusaha memohon doa supaya pintu hati Sufiah terbuka dan insaf.

"Kami tahu Sufiah anak yang baik dan daripada keturunan keluarga yang baik dan berharap beliau sedar dengan perbuatannya," katanya.

Sufiah, 23, yang menjadi bahan berita sebagai kanak-kanak pintar apabila diterima memasuki Universiti Oxford ketika berusia 13 tahun, kini dilaporkan terpaksa melacurkan diri di Salford, Manchester, untuk menyara kehidupannya.

Akhbar News of The World edisi online, Ahad lalu melaporkan Sufiah mengiklankan 'perkhidmatannya' melalui internet dengan tawaran 130 pound (RM830) untuk setiap sesi.

Dengan memakai nama samaran Shilpa Lee, Sufiah antara lain menggambarkan dirinya sebagai pelajar bijak dan seksi yang menyediakan perkhidmatan setiap hari dari jam 11 pagi hingga 8 malam.

Samat juga berharap ibu Sufiah, Halimaton Yusof atau lebih dikenali sebagai Eton di kalangan keluarga supaya mengetepikan rasa terkejut atau malu dengan kejadian itu, sebaliknya berusaha membantu Sufiah.

"Berita itu mengejutkan dan walaupun bagi kami ia adalah berita memalukan namun kami berdoa supaya Sufiah kembali ke pangkal jalan dan berharap Eton juga mengetepikan perasaannya demi masa depan anaknya itu," katanya.

Katanya, jika perlu Halimaton juga boleh kembali semula ke Malaysia dan membawa anaknya untuk memulakan hidup baru di tanah air selepas suaminya, Farooq Yusof dari Pakistan kini dipenjarakan selepas didapati bersalah mencabul kehormatan dua gadis.

"Eton masih mempunyai saudara di negara ini dan mempunyai tanah pusaka yang diwarisi daripada keluarganya dan saya berharap jika perlu beliau boleh kembali semula ke kampung halamannya bersama anaknya," katanya.

No comments

Powered by Blogger.