ketuanan melayu...ini jawapan dari tok guru nik aziz


PASIR PUTEH 20 April - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, MCA dan DAP tidak wajar mempertikaikan keistimewaan orang Melayu yang berteraskan Islam.

Beliau berkata, hak keistimewaan itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara yang tidak perlu diungkit lagi.

"Bagaimanapun, Pas tetap menolak sekiranya ia semata-mata untuk kepentingan bangsa Melayu sahaja dan mengabai terus kepentingan bangsa lain di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang air batu di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhamad Husain; Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Drs. Zainuddin Awang Hamat; ADUN Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim dan DUN Gaal, Nik Mazian Nik Mohamad.

Nik Abdul Aziz mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan titah ucapan Tengku Muhammad Faris Petra pada satu seminar, 12 April lalu mengenai ketuanan Melayu. Kedua-dua pemimpin parti politik itu menyifatkannya sebagai keterlaluan dan cuba mengheret institusi raja-raja Melayu ke kancah politik.

Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, parti itu tidak boleh menyokong kalau ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam.

''Lebih baik berkawan dengan orang Cina dan India Muslim yang taat kepada pegangan Islam berbanding Melayu yang meminggirkan agama anutan mereka," katanya.

Beliau berkata, kedaulatan tanah air wajib dipertahankan tetapi ia perlu diasaskan oleh orang Melayu yang benar-benar memperjuangkan Islam

No comments

Powered by Blogger.