K'jaan BN anjur forum rakyat

Kerajaan akan mengadakan forum awam bagi membolehkan orang ramai memberi pandangan dalam pelbagai isu yang berlaku khususnya di dalam negara ini.
Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, semua pandangan dan cadangan akan didengar dan diberi perhatian.

"Saya menerima SMS dan surat yang dari orang awam yang memberi pandangan mengenai pelbagai isu semasa.

"Melalui forum awam itu, kita hendak dengar pandangan orang ramai," katanya dalam sidang selepas merasmikan majlis retreat ahli parlimen BN di ibu negara hari ini.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah menteri penerangan, Datuk Ahmad Shabbery Cheek dan menteri kerja raya, Datuk Zin Mohamad.

Retreat yang turut dihadiri oleh beberapa menteri kabinet itu, bermula dari jam 9.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 12 tengah hari.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, walaupun kembali berkuasa, tetapi BN gagal mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di parlimen.

Dalam pilihanraya tersebut, BN memenangi 140 kerusi parlimen manakala barisan pembangkang - PKR, PAS dan DAP - menang 82 kerusi.

BN juga hilang di empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada barisan pembangkang, manakala PAS berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi.

Temui rakyat

"Kita hendak dengar masalah mereka, masalah rakyat di bawah walau dalam hal kecil tetapi penting kepada mereka.

"Biar rakyat datang memberi pandangan mereka dalam perkara-perkara yang yang ada kaitan dengan mereka seperti isu-isu yang sedang berlaku," katanya lagi.

Dalam sidang media tersebut juga, Abdullah menjelaskan kerajaan belum memutuskan had umur persaraan kakitangan awam sama ada kekal 56 tahun seperti sedia ada atau dinaikkan.

Beliau berkata, kenyataan Cuepacs bahawa kerajaan telah setuju untuk menaikkan had umur persaraan kakitangan awam kepada 60 tahun adalah mengelirukan.

"Saya kata ini baru peringkat cadangan dengan Cuepacs. Saya tidak kata umur persaraan kerajaan telah dinaikkan kepada 58 atau 60 tahun.

"Saya akan umumkannya nanti. Kenyataan umur persaraan telah naik kepada 60 tahun seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar adalah mengelirukan," katanya.

Isu BPR

Presiden Cuepacs, Omar Osman dilaporkan berkata, lanjutan umur persaraan dari 56 tahun kepada 60 tahun adalah salah satu daripada lima tuntutan yang dipersetujui perdana menteri dalam pertemuan di Putrajaya, Khamis lalu.

Menurut laporan Bernama, empat tuntutan yang dipersetujui kerajaan adalah kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pengubahan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta elaun kritikal dan imbuhan tetap perumahan.

Bagaimanapun, satu lagi tuntutan iaitu pemberian honorarium RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan awam ditolak kerajaan kerana keadaan semasa termasuk masalah kenaikan harga barang ditolak.

Ketika ditanya mengenai cadangan badan pencegah rasuah (BPR) menjadi sebuah suruhanjaya yang bebas, Abdullah berkata kertas cadangan mengenai perkara tersebut telah ada padanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan menteri jabatan perdana menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz bahawa kerajaan bercadang menjadikan BPR sebagai sebuah suruhanjaya bebas pencegahan sasuah (ICAC) Hong Kong.

Sejak ditubuhkan pada 1974, ICAC menggunakan pendekatan penguatkuasaan undang-undang, pencegahan dan mendidik mesyarakat dalam memerangi rasuah.

Dengan sokongan kerajaan dan masyarakat, Hong Kong kini telah menjadi satu daripada tempat "paling bersih (daripada segi rasuah)" di dunia.

No comments

Powered by Blogger.