Semua pemimpin BN perlu pikul tanggungjawab: Samy Vellu


KUALA LUMPUR: Semua pemimpin Barisan Nasional (BN) harus memikul kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum lepas sebagai tanggungjawab bersama dan bukan hanya mempertangungjawabkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sahaja.

Dalam mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Abdullah, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata setiap pemimpin parti komponen BN perlu memikul tanggungjawab masingmasing atas prestasi buruk BN kali ini.

Beliau juga mengkritik bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo kerana menggesa Abdullah mempercepatkan proses peralihan kuasa kepimpinan kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Samy Vellu berkata Mohd Khir perlu memikul lebih banyak tanggungjawab atas kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Ini adalah kerana dua hari sebelum perayaan Deepavali, dia (Khir) mengarahkan supaya sebuah kuil Hindu di Padang Jawa (Shah Alam) dirobohkan sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat India di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Samy Vellu berkata pada hari kuil itu dirobohkan, beliau bekejar ke sebuah hotel di Shah Alam untuk menemui Abdullah dan Mohd Khir yang sedang menghadiri satu majlis di situ.

"Saya merayu kepada dia (Mohd Khir) supaya tidak merobohkan kuil tersebut tepai dia enggan dengan memberi alasan bahawa ia adalah perintah mahkamah.

Saya beritahu dia jika kuil itu dirobohkan, ia bermaksud merobohkan Barisan Nasional," katanya.

Bagaimanapun, menurut Samy Vellu, Mohd Khir enggan mendengar walaupun selepas campurtangan Abdullah dan meneruskan hasratnya tanpa mendengar nasihat Perdana Menteri.

Beliau meminta Mohd Khir supaya tidak melarikan diri dari kenyataan bahawa tindakan merobohkan kuil itu walaupun selepas rayuannya merupakan punca utama pengundi India memilih pembangkang.

"Adalah tidak adil sekali dan tidak munasabah bagi Mohd Khir menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri," katanya.

Katanya oleh kerana rakyat mengundi BN untuk membentuk kerajaan di bawah kepimpinan Abdullah maka keputusan rakyat itu harus dihormati.

"Biar kita henti menunding jari kepada Perdana Menteri atas segala yang terjadi. Kita semua harus mengambil tanggungjawab atas pencapaian BN kali ini," katanya. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.