dr m: saya ada maklumat.
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau membuat kenyataan bahawa ada calon yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno terbabit dalam politik wang untuk mendapatkan pencalonan, selepas menerima maklumat daripada beberapa individu.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Perdagangan Antarabangsa KL 2008 (KLITF‘08) di sini, semalam, bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu terbabit.
“Saya hanya mendengar cerita mengenainya daripada beberapa individu... saya pun sama macam kamu (pemberita) juga yang dapat maklumat dari sumber tersendiri. Tapi saya tak bolehlah dedahkan sumber itu,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai asas dakwaannya berhubung pendedahannya bahawa ada calon yang bertanding bagi jawatan kedua tertinggi dalam Umno menggunakan wang untuk mendapatkan pencalonan mencukupi.
Akhbar semalam melaporkan Dr Mahathir mendakwa beliau percaya ada calon jawatan Timbalan Presiden menggunakan wang bagi mendapatkan pencalonan melayakkannya bertanding.
Perebutan jawatan Timbalan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung, Mac depan dijangka sengit dengan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan dua Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Sepanjang persidangan perwakilan Umno bahagian yang berakhir Ahad lalu, Muhyiddin mendahului senarai paling banyak menerima pencalonan dengan 92 pencalonan, diikuti, Mohd Ali (48) dan Muhammad (26).
Sementara itu, berhubung isu Wanita Umno, Dr Mahathir mencadangkan jawatan Ketua Wanita Umno dipertandingkan pada pemilihan parti Mac depan sebagai jalan penyelesaian kemelut yang berlaku di sayap itu.
Beliau menegaskan, pertandingan membabitkan kedua-dua calon sudah layak iaitu penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Jalil harus dilaksanakan sebagai satu proses demokrasi.
“Kalau dia (Shahrizat) nak bertanding, biarlah. Tak kiralah siapa pun nak bertanding untuk apa-apa jawatan sekali pun kerana itu adalah proses demokrasi,” katanya.
No comments
Post a Comment