exco perlis berbohong!~malaysiakini


KANGAR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, kecewa dengan tindakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Jafperi Othman, yang didakwanya 'berbohong' mengenai isu kontrak peminjaman beliau sebagai Mufti Perlis pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-12, di sini, kelmarin.

Beliau menyangkal kenyataan Jafperi yang menyatakan kerajaan negeri tidak mendapat kelulusan daripada pihak Universiti Sains Malaysia (USM), untuk melanjutkan kontrak peminjaman beliau sebagai Mufti Perlis.

Sebagai bukti, Mohd Asri menampilkan sekeping surat rasmi dikeluarkan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Pentadbiran USM kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, bertarikh 16 September lalu, yang menyatakan secara jelas tempoh lanjutan pelantikan beliau secara pinjaman sebagai Mufti Perlis sehingga 30 Jun 2009.

Mohd Asri ketika ditemui, berkata beliau bukan memanjangkan isu berkenaan apatah lagi mempertahankan kedudukannya sebagai mufti tetapi memperbetulkan fakta.

“Saya kecewa mendengar kenyataan demikian yang berbaur pembohongan, seolah-olah wujud satu konspirasi dalam isu pelepasan jawatan Mufti Perlis. Sidang DUN adalah tempat untuk berbincang dan menjadi landasan kepada kerajaan selesaikan masalah rakyat. Jadi, sewajarnya segala perkara perlu dinyatakan secara tepat dan betul tanpa pembohongan.

"Saya khuatir jika perkara tidak benar disuarakan dalam DUN, ia menimbulkan implikasi kepada rakyat. Jangan sampai isu ini menjadi seperti isu bola sepak Perlis, tendang ke sini salah, tendang sana pun salah. Apa pun, saya pelik kenapa perkara ini mendapat perhatian besar, sedangkan negeri lain juga melakukan pertukaran mufti,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Kelmarin, Jafperi ketika sidang DUN Perlis ke-12, berkata kerajaan negeri tidak pernah menamatkan kontrak Mohd Asri sebagai Mufti Perlis, tetapi beliau dipulangkan semula kepada USM, selepas dipinjamkan pada November 2006 lalu.

Jafperi ketika menjawab soalan lisan Hashim Jasin (Pas-Sanglang) turut memaklumkan kerajaan negeri sudah mengajukan permohonan supaya tempoh peminjaman Mohd Asri dilanjutkan sehingga 2009, tetapi pihak USM hanya bersetuju sehingga 31 November ini.

Mengulas mengenai penggantinya, Mohd Asri berkata, beliau ada mencadangkan dua calon iaitu Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azwira A Aziz dan bekas Naib Mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya.

"Saya berterima kasih kepada pihak istana negeri Perlis yang masih mahu perkhidmatan saya diteruskan mengikut kontrak, tetapi saya terpaksa menolak kerana bercadang meneruskan pengajian di United Kingdom penghujung Disember ini.

"Saya tidak kesal sepanjang dua tahun menyandang jawatan Mufti Perlis kerana ia menjadi landasan terbaik untuk saya suarakan pandangan, pendapat dan berkongsi ilmu pengetahuan demi kemajuan Islam," katanya.

No comments

Powered by Blogger.