najib...pasal duit semua jadi~malaysiakini


KUALA LUMPUR 4 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dana RM5 bilion yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pelaburan dalam Valuecap Sdn. Bhd. bukan sahaja bakal memberi pulangan tinggi tetapi juga mempunyai risiko paling minimum.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, selain mendapat jaminan kerajaan, pemegang ekuiti Valuecap, iaitu Khazanah Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), merupakan agensi kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan pelabur terbesar dalam pasaran ekuiti negara.

''Valuecap ditubuhkan pada tahun 2003 dengan dana RM5 bilion dan sebagai pelabur jangka panjang, Valuecap melabur dalam syarikat blue chips di sektor utama seperti kewangan, perkhidmatan, perladangan, pembinaan, hartanah, industri, tenaga, dan

komunikasi," katanya.

Ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 bagi Kementerian Kewangan, katanya, penambahan dana Valuecap RM5 bilion merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merangsang aktiviti pasaran modal.

Terjejas

Menurutnya, dana itu akan digunakan bagi pembelian ekuiti syarikat yang mempunyai asas yang kukuh tetapi nilai pasaran mereka kini terjejas berikutan kesan pergolakan pasaran ekuiti global.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, dana tambahan itu akan diperolehi melalui pinjaman daripada KWSP yang dijamin oleh kerajaan.

''Oleh itu, pinjaman ini bukan sahaja menjamin pulangan yang lebih tinggi daripada kadar deposit institusi perbankan, tetapi juga merupakan pelaburan yang mempunyai risiko paling minimum kepada KWSP," katanya.

Najib berkata, langkah yang serupa juga telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Tracker Fund of Hong Kong semasa krisis kewangan 1998 dan baru-baru ini oleh Qatar Investment Authority dan sebuah dana pencen terbesar di Korea.

Pada penggulungan itu juga, beliau memberitahu, dana tambahan tersebut tidak akan dibawa keluar dari negara ini seperti didakwa pembangkang kerana ia akan digunakan bagi membeli ekuiti syarikat milik negara.

No comments

Powered by Blogger.