jambatan malaysia- singapura: sokong ada makna la tu!

Cadangan bina jambatan ketiga Johor-Singapura disokong

KOTA TINGGI: Pembinaan jambatan menghubungkan kawasan timur Johor dengan Singapura yang dicadang Datuk Seri Najib Razak, mendapat reaksi baik penduduk sekitar yang percaya ia akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi di Pengerang dan Desaru.

"Mudah-mudahan dengan jambatan itu, ia akan menambah kemasukan pelancong ke Pengerang dan Desaru," kata Pemangku Pengerusi Persatuan Nelayan Pengerang, Abu Bakar Mohamad.

Beliau diminta mengulas cadangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam sidang akhbarnya bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di republik itu hari ini bahawa jambatan itu akan dapat membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara.

Najib, yang berada republik itu sejak semalam bagi lawatan rasmi dua hari, berkata jambatan baru itu akan membantu membangunkan bahagian timur Johor seperti di kawasan di Pengerang termasuk Desaru, yang masih kurang membangun tetapi mempunyai potensi ekonomi yang besar.

Abu Bakar berkata peningkatan kemasukan pelancong asing ke Desaru, yang terkenal dengan keindahan pantainya yang panjang, akan merancakkan lagi industri pelancongan di situ.

Bagi Pengerang pula, katanya, walaupun ia tidak terkenal seperti Desaru sebagai sebuah destinasi pelancongan, tetapi pelancong Singapura sering berkunjung ke situ untuk menikmati makanan lautnya yang segar terutama udang kara.

Azmi Osman, seorang pembantu ekonomi di sebuah agensi kerajaan di Pengerang, berkata peniaga tempatan berpotensi meraih pendapatan yang bertambah dengan meningkatnya bilangan pengunjung.

"Dengan adanya jambatan, orang akan lebih senang berkunjung ke Pengerang dan mereka semuanya adalah pelanggan yang berpotensi untuk peniaga-peniaga tempatan," katanya.

Rakannya, Abdul Fatah Al-Khairi pula berkata, penduduk dan peniaga tempatan perlu mengambil peluang untuk meningkatkan tahap ekonomi mereka apabila jambatan yang dicadangkan itu siap dibina.

"Peluang ekonomi yang wujud dengan adanya jambatan itu perlu digunakan oleh penduduk tempatan," katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.