Nai-Khan lepas jawatan dalam Gerakan untuk bertanding di Penanti




BUKIT MERTAJAM: Ketua Pemuda Gerakan cawangan Telok Wang, Nai-Khan Ari, sanggup melepaskan jawatannya itu untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti kerana mahu berkhidmat kepada masyarakat berbilang kaum di situ.

Anak jati Penanti berketurunan Siam itu menolak sebarang andaian kononnya beliau adalah calon proksi kepada Barisan Nasional, yang telah membuat keputusan untuk tidak bertanding di situ.

"Saya benar-benar mahu berdiri sebagai calon Bebas dan sanggup membelanjakan wang simpanan untuk menjadi calon," kata Nai-Khan, 41, di pusat operasinya di sini, hari ini, menjelang penamaan calon esok.

Selain beliau, pilihan raya itu dijangka membabitkan dua lagi calon Bebas dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kerusi itu kosong selepas bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin meletak jawatan dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran.

Nai-Khan berkata, keadaan politik semasa menjadikan rakyat di Penanti kurang mendapat perkhidmatan sewajarnya dan atas sebab itu beliau tampil menawarkan dirinya.

"Saya letak jawatan bukan kerana parti politik tidak baik tetapi keadaan politik semasa menyebabkan penduduk Penanti tidak mendapat perhatian secukupnya," katanya.

Beliau menganggap hubungan baiknya dengan semua kaum dan kebolehannya menguasai pelbagai bahasa menjadi kelebihan untuk beliau mendekati masyarakat berbilang kaum di Penanti.

"Kalau kita nak berkhidmat kepada masyarakat, tidak perlu ada parti atau mewakili mana-mana parti. Bantuan pasti akan datang sama ada dari kerajaan negeri atau persekutuan," katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.