tahniah adlin dan emelda! semoga menjadi suami dan isteri yang diredhai!
IPOH: Dengan sekali lafaz, pengacara dan pelakon Adlin Aman Ramlie, 37, sah bergelar suami kepada aktres Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29.
Mereka dinikahkan oleh penolong pendaftar perkahwinan, penceraian, rujuk kawasan PGA Ulu Kinta, Zainudin Abu Arshad di Masjid An-Nur, Batu 8, di sini, tepat pukul 5.28 petang tadi.
Dalam majlis yang berlangsung secara sederhana itu, Emelda menerima wang hantaran RM30,000, mas kahwin RM1001 serta tujuh dulang hantaran daripada Adlin.
Antaranya adalah kamera digital, senaskhah al-Quran, set wangian, beg tangan dan kasut, dan sirih junjung.
Sementara itu, Adlin menerima sembilan dulang hantaran daripada Emelda seperti beg silang, senaskhah al-Quran, jam tangan, dan kasut.
Adlin dan Emelda yang mengenakan persalinan berwarna putih rekaan Calvin Thoo kelihatan gembira dan teruja setelah selesai diijabkabulkan.
"Saya sangat seronok dan teruja kerana dalam tempoh empat tahun bersama Mel, sebagai lelaki memang saya mencari pasangan yang dirasakan sesuai.
"Apabila dapat bertunang dan nak berada di alam bersama dia, saya rasa bangga kerana akan mengahwini perempuan yang saya kenal luar dan dalam.
"Semasa diijabkabulkan, saya rasa sangat 'excited'," luah Adlin dalam satu sidang media di rumah keluarga Emelda di Kampung Melayu, Batu 8, di sini.
Dalam pada itu, Emelda berkata sebelum itu, dia berasa sebak kerana tidak dapat berkongsi hari bahagia bersama ayahanda tercinta, Abdul Hamid Mad Ally yang meninggal dunia pada Februari tahun lalu.
"Saya rasa sedih sebab bapa tiada kerana saya dengan arwah sangat rapat.
"Selepas itu, saya rasa lega kerana selalunya perempuan akan berasa lebih risau daripada lelaki. Alhamdulillah, majlis nikah pun telah selesai.
"Saya rasa tak salah pilih orang (Adlin) dan selalu yakin yang dia akan menjadi suami saya dalam empat tahun kami bersama," ujar Emelda.
Majlis yang dihadiri oleh 200 orang tetamu itu turut dihadiri oleh ahli keluarga kedua belah mempelai iaitu ibu Emelda, Rokiah Ibrahim, 63, ibu Adlin, Ruminah Sidek, 63, kakak Emelda, pelakon Emylia Rosnaida dan suami, pengacara AF7, AC Mizal serta pelakon dan penyanyi Aqasha.
Pasangan pengantin yang menyemai cinta sejak empat tahun lalu itu mengikat tali pertunangan mereka pada 14 Mac lalu sempena tarikh lahir Emelda.
Majlis resepsi sebelah Emelda pada esok hari di Dewan Banquet SUK Perak, di sini turut mengambil sempena tarikh lahir Adlin yang jatuh pada 23 Mei.
Sementara itu, majlis resepsi sebelah Adlin dijangka akan diadakan pada 21 Jun depan di Meru, Klang secara ‘rewang’ iaitu kenduri gotong-royong.
No comments
Post a Comment