Kementerian Penerangan waspada blog tonjol isu komunisme

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, akan sentiasa berwaspada terhadap blog atau pihak yang cuba menonjolkan isu komunisme tanpa mengambil kira latar belakang sejarah negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pihaknya boleh bertindak mengikut garis panduan undang-undang komunikasi dan multimedia atas alasan blog berkenaan cuba menggembar-gembur dan memperdaya masyarakat ke arah komunisme.

"Kita bertindak di bawah undang-undang komunikasi dan multimedia tetapi kita suka untuk memberi amaran kepada mereka. Proses itu sedang kita laksanakan sekarang," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) kali kedua di Angkasapuri, hari ini.



Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan yang tidak membenarkan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng kembali ke negara ini.

Ketika mengumumkan keputusan itu semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kepulangan Chin Peng jika dibenarkan hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada ahli keluarga mereka yang terkorban semasa era Darurat antara 1948 dan 1960.

Rais berkata, generasi muda perlu memahami sejarah komunisme dan perlu didedahkan secara meluas mengenai kedurjanaan komunis di negara ini pada suatu ketika dulu.

Katanya, melalui mata pelajaran sejarah, pelajar di sekolah serta institusi pengajian tinggi tidak didedahkan secara meluas dan mereka hanya mengetahui isu komunisme secara asasnya saja.

"Walaupun generasi muda mempunyai idealisme yang tinggi dalam hal-hal tertentu, soal kenegaraan kita penting, soal keluarga dan sejarah kita penting," katanya.

Kementerian juga, katanya, mengambil langkah untuk mengadakan pameran mengenai koleksi kedurjanaan komunis di Muzium Negara dalam masa terdekat.

Beliau berkata, semua agensi dan jabatan lain di bawah kementerian akan digesa supaya mengambil bahagian bagi membantu mendedahkan kekejaman komunis yang membunuh beribu-ribu rakyat Tanah Melayu pada ketika itu. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.