Lanjut 6 bulan PPSMI, ahli akademik marah!

Tindakan kerajaan melanjutkan tempoh sehingga enam bulan sama ada akan meneruskan atau memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menimbulkan kemarahan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia � China, Universiti Pengajian Asing Beijing, Prof. Dr Awang Sariyan.
Iklan




Beliau yang dihubungi Harakahdaily mempersoalkan sehingga bila kerajaan akan yakin hasil pemikiran dan kajian ahli ilmu sehingga memerlukan tempoh yang begitu lama untuk membuat keputusan mengenai dasar tersebut.

"Sebenarnya saya sudah jemu untuk memberi komen mengenai isu ini. Kami di kalangan pejuang bahasa sudah kering tekak dan sudah memberi semua hujah. Sudah bertimbun kertas kerja, memorandum dan buku yang kita kemukakan. Adakah itu tidak cukup untuk kerajaan membuat keputusan?

"Apa yang meragukan ialah kajian Kementerian Pelajaran Malaysia yang memilih-milih responden untuk menguatkan hujah mereka utk meneruskan PPSMI. Nasib dasar di negara kita samalah dengan kisah Yunani purba iaitu kisah seorang putera raja yg dihukum menolak batu ke puncak bukit. Setiap kali batu sampai di puncak, dewa menekan dari atas dan batu pun melorot balik. Ditolak lagi, begitu juga jadinya hingga akhirnya tak pernah lepas batu itu ke sebelah lereng. Kerana apa? Kerana ada kuasa yang menekan usaha melepaskan batu ke lereng satu lagi,"tegasnya.

Jelas Awang, kisah tersebut samalah dengan nasib dasar-dasar di negara ini seperti dasar ekonomi, dasar kebudayaan, dasar pendidikan dan dasar bahasa.

Beliau berpandangan dasar tersebut ibarat batu yang ditolak ke puncak bukit iaitu yang hampir berjaya atau separuh berjaya ditolak ke puncak, ditekan ke bawah semua dan berulang kali.

"Itulah tragedi dalam negara atau masyarakat yang tidak melandaskan sesuatu keputusan pada ilmu dan pemikiran yang jelas. Di satu sisi kita bercakap tentang dasar pembinaan jati diri bangsa dan negara termasuk melalui dasar bahasa, dasar pendidikan serta dasar kebudayaan.Tetapi di sisi lain keputusan tidak selaras dengan dasar, lebih condong kepada asas pragmatisme melulu,"katanya.

Sementara itu Ahli Jawatan Kuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Suhaizan Kaiat berpandangan jika diimbas kembali janji Menteri Pelajaran sebelum ini, Dato' Seri Hishamudin Hussin, kajian mengenai dasar tersebut telah selesai.

Namun katanya, apabila menteri bagi kementerian tersebut bertukar kajian bagi dasar tersebut masih dilanjutkan sedangkan pelbagai kajian telah dilaksanakan termasuk enam rundingan meja bulat.

Sehubungan itu katanya, sekiranya pada Disember nanti baru keputusan bagi dasar tersebut akan diputuskan, ia akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk penyediaan buku-buku teks dan rujukan.

No comments

Powered by Blogger.