Pemilihan PAS: Kehadiran SPRM tidak diperlukan

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

SHAH ALAM: Penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak diperlukan dalam pemilihan PAS Pusat bulan depan kerana parti itu yakin, tidak ada sebarang unsur rasuah dalam pemilihan tersebut seperti yang digembar-gemburkan.

Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, Presiden parti, Datuk Seri Abd Hadi Awang telah pun membuat kenyataan minggu lalu bahawa parti itu sememangnya bersih daripada gejala rasuah.

“Beliau telah keluarkan kenyataan bahawa tidak ada sebarang rasuah dalam PAS dan saya percaya tentang itu.

“Saya rasa kalau kenyataan itu begitu, dalam PAS sendiri tahulah yang kita tidak boleh buat jawapan sewenang-wenang kerana ada tapisan dalam bentuk syariat.

“Oleh itu, ia bukan tapisan kasar, tapisannya halus dan sepanjang pengetahuan saya, tidak ada sebarang rasuah dalam PAS Selangor,” katanya semasa sidang media berhubung Muktamar Tahunan PAS ke-55 yang akan berlangsung bulan depan, di sini.

Muktamar Tahunan PAS ke-55 yang bakal menyaksikan pemilihan bagi kepimpinan pusat dan sayap parti akan berlangsung dari 5 hingga 7 Jun depan di Stadium Malawati di sini.

Mengulas lanjut, Dr Hasan berkata, seramai 1,000 perwakilan dari 178 kawasan serta 5,000 pemerhati dari seluruh negara dijangka akan menghadiri muktamar itu.

Beliau berkata, muktamar dan pemilihan bagi Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat akan diadakan pada 4 Jun yang mana Dewan Ulama akan bermuktamar di Muzium Negeri, Pemuda di Taman Melewar dan Muslimat di Dewan Banquet, bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

“Sementara itu, pemilihan bagi pucuk pimpinan pusat akan diadakan pada 5 Jun di Stadium Malawati selepas solat Jumaat bermula pukul 3 petang dan pengumuman keputusan akan dibuat sebaik sahaja keputusan rasmi setiap jawatan diketahui,” katanya.

Selain itu katanya, satu ceramah perdana akan diadakan pada malam 6 Jun yang akan disampaikan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Abd Hadi; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan wakil gerakan Islam antarabangsa

No comments

Powered by Blogger.