Kaji Semula Denda RM20

SHAH ALAM, 20 Mei - Kerajaan Selangor dijangka mengkaji semula purata denda RM20 yang dikenakan kepada pemilik rumah yang gagal menjelaskan cukai pintu mengikut tempoh yang ditetapkan.

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu semasa sidang media selepas mesyuarat Exco petang tadi.

“Kita akan bermesyuarat hujung bulan ini bagi mengenal pasti kaedah yang lebih praktikal dan boleh diterima semua pihak,” katanya langkah itu dibuat berikutan bantahan daripada orang ramai.

Sebelum ini, kerajaan negeri menetapkan kadar itu (RM20), sebagai mematuhi keputusan mahkamah pada tahun lepas yang menetapkan bahawa denda lewat bayar cukai pintu tidak boleh dikira berdasarkan peratusan.

Dalam pada itu, beliau berkata satu perjumpaan bakal diadakan dengan pengusaha minuman keras dan badan bukan kerajaan (NGO) di Bangunan Annex, petang esok.

Menurutnya, perjumpaan itu bagi mendapatkan pandangan pihak terbabit dan menetapkan beberapa garis panduan yang bersesuaian untuk dipatuhi dalam mengawal penjualan minuman keras secara berleluasa khususnya kepada yang beragama Islam di negeri ini.

“Perjumpaan ini akan turut disertai Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan juga ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya. - MURIZA ABDUL HAMID

No comments

Powered by Blogger.