superman akan muncul menolong umo perlis?

Ratusan ahli Umno Perlis keluar parti hanya gimik politik semata-mata: Radzi

KANGAR: Isu ahli Umno Perlis keluar parti sertai pembangkang tidak lain hanya sekadar gimik politik semata-mata, kata Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Bagi Radzi yang juga Ahli Parlimen Kangar, isu ahli Umno lompat parti bukan lagi perkara baru, malah sudah sekian lama dijadikan gimik murahan demi meraih populariti politik peribadi.

Buat masa sekarang, katanya, Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri sudah dimaklumkan mengenai isu berkenaan dan siasatan awal juga sudah dilakukan.

Sehingga kini, katanya, pihaknya yakin gimik terbabit sengaja ditimbulkan individu atau kumpulan tertentu atas dasar terkilan untuk menunjukkan bukti protes terhadap sesuatu isu terutama mengenai kepimpinan Umno negeri.

"Malah, saya sendiri yakin akan muncul 'hero' atau penyelamat untuk menarik semula penyertaan ahli terbabit, sekali gus membuktikan dirinya mempunyai pengaruh besar terhadap kepimpinan parti negeri.

"Kita tahu siapa dalang di sebalik isu berkenaan dan apa tujuannya berbuat demikian. Malah, individu terbabit jugalah yang memainkan peranan sabotaj dalam kempen parti ketika Pilihan Raya Umum ke-12 lalu," katanya tanpa mendedahkan identiti individu dimaksudkan itu.

Isu ahli serta beberapa pemimpin Umno negeri yang dikatakan berhasrat keluar parti beramai-ramai heboh diperkatakan sejak akhir-akhir ini, terutama selepas tampuk kepimpinan Umno negeri dilanda perubahan.

Malah, media sebelum ini turut melaporkan kira-kira 1,000 ahli Umno Perlis menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain itu, bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh, sendiri turut menyatakan hasrat untuk berbuat demikian selepas mendakwa diketepikan daripada barisan kepimpinan Umno negeri.

No comments

Powered by Blogger.