Tuntutan PAS bukan melampau
Di Selangor salah satu warisan peninggalan Umno-BN adalah secebis enakmen yang menyumbang ke arah kerja-kerja pencegahan kemungkaran yang sesungguhnya dapat membantu dalam membentuk sebuah masyarakat yang sihat dan bermoral. Malangnya ia walau dilulus sebagai suatu perundangan sejak 1995 namun tinggal sekadar secebis kertas dan tidak pernah ada kesungguhan untuk melaksana dan menguatkuasakannya.
Undang-undang yang dimaksudkan adalah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang mula berkuatkuasa sejak 22 November 1996. Antara yang disentuh oleh enakmen ini adalah kesalahan berhubung aqidah, kesalahan berhubung kesucian Islam dan institusinya dan termasuklah berhubung arak, pelacuran, khalwat dan lain-lain.
Mungkin ia tidak menepati tuntuan sebenar syariat dari sudut hukumannya, walaubagaimanapun ia suatu permulaan yang positif dalam kita cuba membina masyarakat yang sentiasa menjiwai amalan “menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari kemungkaran”. Tetapi nilai positifnya itu hanya akan terserlah jika ia terlaksana dan tidak sekadar duduk sebagai bahan rujukan atau hiasan perpustakaan.
Lantas apabila PAS bersama rakan-rakan lain melalui Pakatan rakyat berjaya membentuk kerajaan negeri Selangor selepas PRU ke 12 lalu, “political will” untuk melaksana dan menguatkuasakan enakmen ini terserlah. PAS sebagai sebuah parti Islam bertanggungjawab dalam memastikan ia berusaha menyerlahkan Islam dalam apa sahaja bentuk yang ia berupaya dalam kerangka realiti yang ada. Benar Selangor bukannnya Kelantan dimana PAS memiliki majoriti mutlak, walaubagaimanapun PAS juga bukan sekadar pemanas kerusi dan tukang hangguk.
Dalam isu ini apa yang mahu ia terokai adalah perlaksanaan dan penguatkuasaan terhadap perundangan yang telah sedia ada bukannya menggubal atau memperkenal sesuatu yang baru. Itupun yang mahu dituntut adalah penguatkuasaan terhadap masyarakat dan rakyat Selangor yang beragama Islam sahaja kerana seksyen 1(2) enakmen ini dengan jelas menyatakan bahawa enakmen ini terpakai hanya bagi orang-orang Islam sahaja.
Arak contohnya tidak kiralah liquor (yang keras) atau bir, adalah minuman yang memabukkan yang jelas haram disisi Islam, dan enakmen ini mengharamkan umat Islam membuat, meminum, menjual, mempamir, membeli atau menyimpan minuman jenis ini. Bukan hanya PAS tetapi saya percaya seluruh masyarakat Islam akan bersetuju memandangkan telah ada enakmen ini agar ia dikuatkuasakan agar umat Islam semuanya terpelihara dan terdidik dalam menjauhi atau meninggalkan amalan syaitan ini.
PAS Selangor bukan menuntut agar arak ini diharamkan secara “total” di Selangor sebagaimana digembar-gemburkan oleh bebrapa media yang punya agenda negatif terhadap Islam. Kelantan yang PAS kuasai secara mutlak itupun tidak mengharamkan secara “total” arak ini takkanlah PAS yang hanya ada 8 kerusi di Selangor mahu menuntut yang lebih dari itu. Apa yang kita mahu adalah agar ia terpakai pada masyarakat Islam, yang bukan Islam terkecuali.
Begitu juga lain-lain hal dalam peruntukkan ini. Melampaukah PAS jika membuat tuntutan seperti ini?
Saya yakin pimpinan Pakatan Rakyat akan memahami tuntutan PAS ini, ia suatu tuntutan yang akan melahirkan suatu kelompok masyarakat Islam yang baik di Selangor, apabila masyakarat Islam baik, negeri ini juga menjadi baik, melampaukah begitu?
Beberapa laporan dalam akhbar The Sun semalam mengenai isu ini sungguh menyedihkan, semoga ia tidak mencerminkan sikap kerajaan tetapi hanya segelintir yang tidak faham dan tidak jelas. Marilah kita berdoa agar Islam terpelihara dan selamat di negeri ini.
http://n32.blogspot.com/
No comments
Post a Comment