Mengejar Keadilan

1. Semangat Perlembagaan

Negara kita adalah sebuah Negara demokratik yang berteraskan kebebasan dan keadilan. Selama ini, Perlembagaan Persekutuan kita telah banyak menyumbang dengan menjamin kebebasan dan kesamarataan rakyat negara kita. Melalui perlembagaan, kita berharap dapat membina hubungan yang erat antara rakyat pelbagai kaum, serta menyeimbangkan kepentingan antara golongan-golongan yang berlainan, dan kepentingan antara individu dan masyarakat.

Malangnya, demokrasi and kedaulatan undang-undang (rule of law) tidak lagi wujud di negara ini, semangat Perlembagaan Persekutuan 1957 turut hilang begitu sahaja. Hari ini, kerajaan kita merupakan sebuah kerajaan yang dikuasai oleh oligarki. Mereka menggunakan keganasan untuk mengekalkan pemerintahan negara ini. Mereka sanggup membuat apa saja demi melindungi kepentingan mereka sendiri. Oleh demikian, negara kita telah mengalami kemudaratan yang paling serius dalam sejarah negara kita. Semangat perlembagaan sudah digugat.

Apakah Semangat Perlembagaan?

Lord Denning, hakim terkenal di UK, telah menyatakan dalam buku terkenal beliau "Cerita Keluarga" bahawa, elemen pertama dalam semangat perlembagaan ialah naluri mengejar keadilan. Hak (dan bukan kuasa) barulah merupakan asas benar sesebuah masyarakat. Elemen kedua ialah naluri memperjuangkan kebebasan. Kehendak bebas, bukan pemaksaan barulah merupakan asas pemerintahan sesebuah negara.

Elemen-elemen ini walaupun merupakan konsep yang abstrak, tetapi rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat yang mengutamakan keadilan mesti dapat merasai kewujudannya. Elemen ketiga ialah keseimbangan antara hak dengan kewajipan, dan kuasa dengan perlindungan. Keadaan keseimbangan ini memastikan hak dan kuasa tidak disalahgunakan atau dilampaui.

Keadilan dan kebebasan telah membawa kepada kestabilan situasi, yang bebas daripada gangguan politik dan ambisi. Kuasa, kekerasan dan ketidakadilan akan memusnahkan sesebuah rejim yang dibina. Sekiranya sesebuah negara mengamalkan nilai seperti kekerasan dan ketidakadilan, negara ini pasti akan hancur suatu hari nanti.

Saya berasa sedih kerana semangat perlembagaan hanya dapat dibaca dalam buku undang-undang dan tidak dapat dirasai dalam kehidupan harian. Negara kita akan mula menuju ke arah kehancuran diri sekiranya Hakim Negara kita, dirampas peranan mereka sebagai wali perlembagaan. Peristiwa melucutkan "kuasa kehakiman" (judicial power) yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 telah memalukan hakim terhormat. Harapan rakyat kita terhadap kebebasan dan keadilan turut dihancurkan.

Semenjak itu, institusi kehakiman terus mengecewakan kita apabila isu seperti ini asyik berulang. Contohnya, terdapat hakim dalam Makamah Persekutuan yang tanpa malunya menyatakan bahawa konsep "pemisahan kuasa" (separation of powers) bukan ciri perlembagaan negara kita, Speaker Perundangan Negeri tidak berkuasa untuk menentukan kekosongan sesebuah kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) walaupun fungsi itu jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Negeri.

Dan hari ini, ada pula hakim yang memutuskan bahawa raja berperlembagaan boleh memecat Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat. Sebenarnya, perlembagaan kita jelas menyatakan bahawa raja berperlembagaan kita tidak berkuasa untuk memutuskan perlantikan atau pemecatan Menteri Besar.

Mengapakah negara kita kehilangan arah? Ini adalah akibat daripada hakisan terhadap perlembagaan negara kita yang membawa bencana kepada kita. Negara kita kini sedang dijangkiti pelbagai penyakit yang memerlukan rawatan intensif. Kita kehilangan arah kerana negara kita sakit. Pada mulanya sakit dari segi semangat, dan diikuti dengan fizikal.

2. Negara fasis yang baru membangun

Inilah apa yang berlaku akibat daripada pemerintahan Mahathir selama 23 tahun, diikuti dengan pemerintahan anak didik kesayangannya Najib Razak. Kita kehilangan demokrasi. Akibatnya, kita turut kehilangan keupayaan untuk membezakan yang betul dengan yang salah. Kita membunuh pemuda berumur 14 tahun dengan senjata api; kita mempunyai beratus-ratus orang yang mati dalam tahanan polis; kita mempunyai pilihanraya yang tidak bebas dan tidak adil; kita mempunyai suratkhabar yang diberi lesen semata-mata untuk memburuk-burukkan nama lawan politik; kita mempunyai sebuah parlimen yang berbangga sebagai penyekat terhadap kebebasan bercakap dan bukan sebagai pembela hak istimewa ahli parlimen untuk bercakap tanpa ketakutan.

Hari ini, negara yang sakit ini telah dijangkiti sejenis penyakit politik yang merbahaya, iaitu, fasisme.

Fasisme

Apakah yang saya maksudkan sebagai "Fasisme"? Saya akan terangkan dan anda boleh menilai samada ini adalah benar atau tidak.

Negara fasis mahu rakyatnya taat kepada negara, tetapi ia merampas hak kebebasan rakyat. Ia memaksa rakyat menerima sejenis prinsip politik istimewa yang mengenakan pelbagai sekatan atas rakyat. Kumpulan yang lebih superior berhak untuk menggunakan kuasa mereka ke atas kumpulan yang lebih inferior. Maknanya konsep kesamarataan sesama manusia tidak diterima.

Anasir-anasir Fasis dari rupa luarnya nampak seperti pembaharuan dan pemulihan, tetapi hakikatnya, ia merupakan sesuatu yang paling reaksionar serta akan menjadikan rakyat terlalu bergantung kepadanya. Anasir-anasir Fasis akan menggunakan kuasa negara untuk merampas hak rakyat demi mencapai maklamat mereka. Mereka mempergunakan undang-undang dan mekanisme lain yang tidak munasabah, dan juga keganasan untuk menjana persasaan takut di kalangan rakyat. Dalam negara fasis, kepentingan semua pihak tidak akan dijaga dengan sama rata, hanya kepentingan segelintir elit pemerintah megara akan menikimati perlindungan.

Negara fasis sangat berminat untuk menyalahgunakan agama ataupun perkauman. Mereka mencipta ideologi dan budaya supremasisme perkauman dengan mendistorsi dan menghina nilai asas suci kepercayaan dan budaya tradisi kita, dan menjadikannya sebagai ubat ajaib politik. Mereka mempergunakan perasaan takut dan gelisah rakyat, memperalatkan perkauman dan agama sebagai modal untuk merampas kuasa pemerintahan.

Untuk mencapai tujuan ini, fasis akan menggunakan dasar pecah dan perintah di kalangan rakyat, di mana persamaan dan keadilan bukan untuk semua, dan hak istimewa hanya diberi kepada segologan kecil yang digemarinya. Mereka melihat golongan istimewa ini lebih cemerlang daripada golongan yang lain, dan diberi lebih hak daripada yang lain.

Sebenarnya fasisme merupakan suatu sistem diktator yang mengagung-agungkan diri sendiri, pemimpin dan isteri pemimpin, dan menyebarkan dasar reaksionar yang chauvinistic melalui penggunaan kekerasan dan rasa ketakutan. Sesiapa yang patuh akan dihargai, manakala yang berani melawan akan berhadapan dengan baton polis, meriam air, atau dibuang negeri, ditahan tanpa batas waktu.

Jalur kehidupan fasisme adalah teori supremasisme ras. Anasir-anasir fasis takut diancam oleh musuh yang bertaraf lebih rendah. Sini boleh kita lihat kontradiksi utama fasis: Sekiranya musuh bertaraf rendah, bagaimanakah ia boleh menjadi ancaman kepada kita? Kita cuba fikir: Jika tiada musuh, apa yang supremist akan buat? Apa yang fasis boleh buat? Perilaku mereka yang tidak munasabah, dari penahanan menggunakan ISA, ke "kes melempar kepala lembu", merupakan sebahagian daripada tindakan mereka untuk mencipta musuh khayalan.

Teori supremasisme ras bukan tentang dasar afirmatif atau diskriminasi positif, tetapi demi mendapatkan kuasa mutlak. Supremasisme ras selalunya kawan terbaik kepada fasis. Dalam pandangan saya, ini adalah realiti kepimpinan politik negara kita hari ini.

Malaysia hari ini memang merupakan sebuah negara fasis yang baru membangun. Slogan "Satu Malaysia" adalah satu penipuan, perlu dilawan dan dihancurkan.

Jika rakyat kita menuntut perubahan, seluruh rakyat perlulah bangun bersatu melawan fasisme. Dalam perjuangan ini, kita tidak boleh bergantung kepada golongan yang kaya-raya dan berkuasa. Walaupun masih terdapat sebahagian kecil rakyat masih menempel pada rejim lama, tidak dapat mengenali kenyataan, kita perlu menghulurkan tangan untuk menyatupadukan mereka supaya terus melawan beratus jutaan "industri" yang melibatkan rent seeking dan korupsi, penyalahgunaan kuasa, pencabulan hak asasi, perampasan tanah dan perumahan, peminggiran sesebuah sektor/kumpulan masyarakat, tata pemerintahan yang buruk, kesombongan pemimpin dan keluarganya.

Keteguhan kita mengejar keadilan, pada akhirnya, mesti akan menyampaikan satu mesej yang jelas bahawa sekiranya sesebuah negara tidak diuruskan/diperintah dengan betul, negara tersebut akan berakhir sebagai sebuah negara gagal. Sesebuah negara yang merosakkan semangat perlembagaan akan menuju kemunduran. Negara fasis mesti gagal kerana tiada ubat yang dapat menyembuhkan anasir-anasir fasis.

3. Negara Bangsa yang kian malap

Filipina merupakan salah satu contoh di mana negara kita tengah mengikut langkahnya ke arah kemerosotan. Sebelum kemerdekaan, Filipina mempunyai sistem kehakiman dan perundangan, kemudahan kesihatan dan sistem pendidikan yang baik, dan sumber tenaga manusianya jauh lebih banyak dan kuat daripada negara lain dalam rantau ini. Semasa merdeka, Filipina mempunyai sistem politik yang demokrasi, sistem kehakiman yang sihat membangun, kebebasan media, pembangunan pesat pertanian dan pendapatan per capita (GDP) yang lebih tinggi daripada negara lain (selain daripada Malaysia dan tiga lagi negara yang lain).

Namun demikian, ia kian malap sejak tahun 1960-an. Kewangannya mengalami defisit, inflasi tinggi, tidak dapat menarik pelaburan luar dan ekonomi kian merosot. Krisis ekonomi Asia 1997 menerukkan lagi ekonomi Filipina. Pendapatan per capita rakyat menurun secara mendadak, keselamatan negara tidak terkawal, birokrasi cepat mengembang (bloated bureaucracies), pembalakan besar-besaran, ramai orang professional seperti doktor, jurutera, jururawat dan lain-lain berhijrah ke negara luar.

11% rakyat terpaksa mencari rezeki di negara luar dan mengirimkan wang balik ke tanahair untuk keluarga mereka. Kini, negara ini kena bergantung kepada USD$1,600 juta wang asing untuk hidup. Mahkamah mereka lemah dan korup, semangat "rule of law" langsung tidak wujud lagi. Mereka mengambil tindakan terhadap pemimpin-peminpin parti pembangkang dan aktivis, dan juga journalis dan agamawan (clergy).

Pada tahun 1986, Presiden Marcos yang telah memerintah Negara Pilipina selama 26 tahun, melarikan diri dengan isteri dan anaknya, dan membawa bersamanya 300 peti harta berharga yang mengandungi wang tunai, perhiasan, karya seni, dokumen dan barang-barang lain. Walaupun Marcos sudah meninggal dunia, tetapi ekonomi Negara Filipina masih belum sembuh sehingga kini.

4. Kestabilan ekonomi bergantung kepada kebebasan dan keadilan

Adalah senang saja untuk sesebuah negara yang maju untuk menuju ke arah kemerosotan seperti mana yang telah berlaku di banyak negara lain, bukan sahaja Negara Filipina. Hari ini, Malaysia turut merupakan sebuah negara yang kian malap. Adakala pemimpin negara kita akan berkata, kalau negara kita terlalu demokrasi, terbuka dan bebas, ia mungkin membawa keburukan kepada negara. Nampaknya mereka berpandangan bahawa pemerintahan diktator, oligarki dan penindasan akan membawa kebaikan kepada negara kita.

Mereka cuba menunjukkan secara tidak langsung bahawa terlalu banyak kebebasan akan mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi. Tetapi mereka tidak pernah memberitahu kita bahawa bagaimana demokrasi telah memulihkan ekonomi di Korea Selatan. Gerakan reformasi Korea Selatan meletus di Gwangju pada 18 May 1980, dan akhirnya berjaya menjatuhkan pemerintahan diktator ketenteraan di Seoul selepas perjuangan selama 7 tahun. Hari ini, ekonomi Korea Selatan menduduki tempat kedua di Asia, hanya berada di belakang Jepun sahaja, dan perhimpunan aman dan protes terbuka di jalan raya biasa dijumpai di Seoul.

Indeks Persepsi Korupsi Malaysia merosot

Pemimpin negara kita juga tidak mahu rakyat kita tahu bahawa mahupun di Indonesia, selepas gerakan reformasi yang berlangsung selama 10 tahun, ekonomi mereka kini mula lihat tanda pemulihan. Berdasarkan indeks Persepsi Korupsi tahunan Ketelusan Antarabangsa (Transparency International), indeks Indonesia telah meningkat dari 2.3 dalam tahun 2007 ke 2.6 dalam tahun 2008 dan 2.8 dalam tahun 2009 , manakala indeks Malaysia telah turun dari 5.1 dalam tahun 2007 ke 4.5 dalam tahun 2009 .

Dalam kedudukan antarabangsa, Indonesia turut mencapai peningkatan yang paling ketara antara semua Negara ASEAN. Ia telah meningkat dari tempat ke-145 dalam 2007 ke tempat ke-126 dalam 2008 dan ke-111 dalam 2009
iaitu. Tetapi Malaysia jatuh dari tempat ke-43 dalam 2007 ke tempat ke-47 dalam 2008 dan ke-56 dalam 2009 . Penurunan sebanyak 9 tempat menjadikan kita negara yang paling banyak merosot dari segi Persepsi Korupsi di rantau ASEAN ini antara tahun 2008 dan 2009.

Kemerosotan sesebuah negara selalu bermula dari langkah pertama yang sama, iaitu campur tangan pemerintah dalam perundangan dan kehakiman yang menghalang penyampaian keadilan dan kebebasan, yang seterusnya bertunduk kepada kerajaan.

Mereka (institusi perundangan dan kehakiman) apabila bertunduk kepada kuasa, mereka sanggup menggadai apa-apa sahaja termasuk wang anda, tanah anda, dan lebih teruk lagi, nyawa anda. Diktator adalah sangat jelas bahawa mereka mesti memusnahkan semangat perlembagaan, barulah dapat mencapai tujuan mereka. Apabila M-Marcos yang terkenal dengan nama buruknya mendapati bahawa Perlembagaan 1935 akan menghalangnya untuk terus menjadi Presiden pada kali ketiga, dia telah mengumumkan pemerintahan tentera (Martial Law) pada 1972, mengabaikan Perlembagaan Negara dan terus pakai perlembagaan baru. Di bawah perlembagaan baru ini, tempoh memegang jawatan Presiden ialah enam tahun setiap penggal, dan jumlah penggal untuk memegang jawatan ini tidak dihadkan.

5. Bangunlah Melawan

Kita haruslah bangun dan melawan elit dan oligarki yang menipu sendiri dan orang lain, mengatakan bahawa apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan bangsa, negara dan agama mereka. Pada hakikatnya, mereka berbuat demikian semata-mata untuk menjamin kedudukan dan kekayaan mereka. Mereka membela kelemahan, ketamakan dan sikap gila kuasa mereka. Mereka kata mereka tahu apa yang rakyat mahu, tetapi sebenarnya mereka langsung tidak tahu. Rakyat Malaysia akan memutuskan apa yang baik untuk mereka.

Setiap lapisan masyarakat harus menyertai perjuangan mengejar keadilan. Ahli parlimen parti pembangkang sedang menghadapi kesulitan. Mereka yang bersemangat lemah mungkin akan melompat untuk menyokong atau menyertai BN. Ahli Parlimen lain yang memegang kuat kepada pendirian mereka dibuli oleh majoriti. Mereka tidak dapat berbahas secara serius tentang polisi dan undang-undang negara.

Peraturan Tetap Parlimen selalu digunakan untuk mencabuli hak bercakap Ahli Parlimen, menghalang mereka daripada membentangkan isu yang rakyat ingin tahu. Pihak polis tidak pernah berhenti mengganggu parti pembangkang. Sehingga kini, sudah ada 15 orang pemimpin parti pembangkang ditahan dan disiasat oleh polis di bawah Akta Hasutan. Tetapi, polis langsung tidak mengambil tindakan terhadap ketua UMNO yang saban hari mengemukakan pandangan perkauman. Ceramah parti pembangkang selalu tidak dibenarkan. Walaupun mereka mungkin mendapat permit, tetapi adakala mereka juga akan dihentikan bila program tengah dijalankan, terutamanya bergantung kepada isu yang speaker ucapkan.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh BN tidak pernah diganggu. Pihak berkuasa tidak pernah sekalipun menghalang pemimpin UMNO. Surat khabar dan TV mereka berdusta dan menjalankan serangan peribadi terhadap saya secara terbuka. Sedangkan kami hendak berbincang tentang polisi dan tata pemerintahan, mereka pula menghasilkan foto yang palsu untuk menyerang anda. Bayangkan betapa rendahnya taraf pilihanraya di negara ini. Rakyat Malaysia haruslah berani untuk menolak kerajaan zalim ini. Politik kotor yang bermula dari zaman Mahathir mesti diakhiri.

Pakatan Rakyat tidak akan membuat janji-janji yang ia tidak dapat ditunaikan sekiranya ia berkuasa. Kami akan menghormati hak asasi dan maruah rakyat, menjaga masyarakat yang dipinggirkan atau yang miskin. Kami akan menggalakkan media yang bebas dan akan mengembalikan demokrasi. Yang sama penting sekali, anda semua harus memantau kami.

Jadi untuk mereka yang atas pagar: keadilan mesti diamalkan dalam negara ini, dan dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat. Kalau tidak, semangat akan meninggalkan tubuh negara ini, dan tubuh negara ini akan reput. Keadaan seperti ini merupakan tindakan bunuh diri. Satu-satunya jalan yang kita boleh ambil ialah, terus mengubati dan memulihkan semangat Perlembagaan yang telah sakit.

*Artikel ini merupakan kandungan utama ucapan Zaid Ibrahim dalam forum "Kes MB Berkembar Perak: Kemelut Sistem Berperlembagaan Malaysia" anjuran bersama Friends of Suaram (FOS) Johor dan Persahabatan Semparuthi (sebuah pertubuhan bukan kerajaan berbangsa India) pada 15hb Mei 2010 di Tropical Inn, JB. Artikel ini diedit and diterjemah dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu oleh pihak penganjur. Sila klik untuk artikel asal bertajuk "Quest for Justice" oleh Zaid Ibrahim.

No comments

Powered by Blogger.