Isu doa khutbah Jumaat:Ustaz Zakaria pertahankan pendirian

Oleh Nazar Hashim

Khatib yang didakwa terlibat dalam isu doa khutbah Jumaat, Ustaz Zakaria Ahmad, mempertahankan pendirian beliau bahawa tiada kesalahan yang dilakukan semasa doa khutbah tersebut dibacakan bagi mendoakan kesejahteraan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Zakaria Ahmad yang bercakap kepada media selepas menemui panel jawatankuasa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di pejabat MAINPP semalam, berkata bahawa tidak menjadi satu kesalahan untuk berdoa (kepada orang bukan Islam).

“Cuma caranya sahaja perlu diperbetulkan. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak MAINPP yang telah membantu bagi memberi panduan mengenai keperluan yang ada dalam isu khutbah ini.”

“Namun begitu isu ini hanyalah satu isu kecil. Sebelum ini pun ada orang lain yang membacakan doa dalam khutbah Jumaat kepada pemimpin tetapi kenapa mereka tidak dipanggil?” tanya beliau.

Mungkin ambil tindakan saman malu

Zakaria juga berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman malu kepada mereka yang telah melemparkan fitnah kepada beliau dalam isu ini dalam tempoh terdekat.

Tambah beliau lagi adalah suatu yang dikesalkan kerana isu sekecil ini telah dipolitikkan oleh mereka yang tidak memahami erti sebenar khutbah Jumaat sehingga sanggup menjadikan ia sebagai modal politik sempit mereka.

Manakala Yang Dipertua MAINPP, Ellias Zakaria berkata pertemuan dengan jawatankuasa siasatan MAINPP kali ini bertujuan untuk mendapat penerangan sebenar dari khatib yang terbabit sebelum apa-apa tindakan diambil. Beliau juga berkata perbincangan yang diadakan berjalan dalam suasana yang baik.

Tiada tindakan terhadap khatib Zakaria

“Tiada tindakan yang akan diambil terhadap beliau setelah adanya penerangan sebenar dari insiden yang membabitkan isu doa dalam khutbah Jumaat yang hangat diperkatakan sejak minggu lalu,” jelas Ellias Zakaria.

“Kita juga berharap dalam suasana ramadan ini tiada pihak yang akan mengambil kesempatan isu ini dan mengeruhkan suasana yang ada,” kata Ellias Zakaria (gambar kiri).

Katanya lagi jawatankuasa yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Sazali Hussain dan Pegawai Tadbir Agama Daerah itu turut berpuas hati dengan penerangan yang telah disampaikan oleh Zakaria.

Sebelum itu Zakaria yang tinggal di Taiping, Perak telah disoal-siasat di Balai Polis Butterworth bagi diambil keterangan beliau setelah adanya laporan dibuat oleh Pemuda UMNO Pulau Pinang, baru-baru ini.

Isu doa khutbah Jumaat yang didakwa menyebut nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah disebut oleh Zakaria di Masjid Jamek Kubang Buaya, Butterworth dan Masjid Jamek Padang Menora,Tasek Gelugor.

Dakwaan oleh Ahmad Zahid

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini telah mendakwa terdapat khatib yang mendoakan Lim Guan Eng di beberapa buah masjid dalam kawasan Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Jelutong.

Namun begitu tiada pula nama kawasan Bagan yang dinyatakan sedangkan Masjid Jamek Kubang Buaya berada dalam kawasan Bagan. Begitu juga dengan dakwaan ianya berlaku dalam kawasan Permatang Pauh.

Nama masjid yang didakwa dalam kawasan Permatang Pauh belum dapat dikenal pasti sehingga ke hari ini.

Banyak pihak mempertikaikan tindakan yang diambil oleh UMNO dan Barisan Nasional dalam isu doa khutbah Jumaat ini. Sesetengahnya mendakwa isu ini sengaja dijadikan modal politik oleh UMNO dan BN setelah melihat kewibawaan yang ada pada kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) semakin mendapat dokongan rakyat.

Tindakan yang diambil oleh UMNO dan BN ini bukan saja menambahkan hilangnya keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada mereka, tetapi juga membuka ruang kepada masyarakat khususnya orang Melayu untuk melihat setakat mana isu agama sebegini akan dimanipulasikan sebagai modal politik untuk meraih sokongan.

Sekiranya isu sekecil ini tidak dapat diselesaikan dengan cara musyawarah apakah akan menjadi kenyataan perpaduan dan penyatuan Melayu yang sering menjadi omongan bagi UMNO dan PAS untuk bersatu di bawah satu payung bagi membela nasib masyarakat Melayu dan Islam dalam negara ini?

No comments

Powered by Blogger.