Berhati-hati peralatkan Istana
Oleh othimbra
"Telah menjadi kecederungan kepada segelintir ahli politik, mereka suka menggunakan istana untuk mencapai impian politik mereka. Mereka mengadakan program tertentu kononnya untuk kepentingan rakyat dan negara dengan menjemput pihak istana sebagai penaung dan sekaligus melancarkan program tersebut.
Bagi istana pula, mungkin tidak menyedari bahawa penyertaannya itu memberi impak yang bermakna kepada ahli politik tertentu lantaran alasan yang disampaikan kepadanya kelihatan menarik, logik dan mempunyai faedah untuk rakyat.
Kenapa mereka menggunakan istana? Sebabnya banyak, antaranya ialah:
1. Untuk menarik sokongan golongan tertentu agar menyokong rancangan yang mereka garapkan itu kerana kononnya ia diceburi pihak istana yang kewajarannya sukar untuk dipertikaikan oleh banyak pihak, terutama kerajaan.
2. Mereka yang merancang program itu sendiri menyedari bahawa mereka sebenarnya tidak berupaya menarik sokongan orang ramai kerana kelemahan diri sendiri. Justeru itu, mereka terpaksa mencari jalan keluar untuk mengatasi masalah tersebut. Jalan keluar yang ditemui ialah membabitkan istana.
3. Mereka cuba mengabui mata masyarakat tentang tujuan tersirat yang wujud di sebalik program tersebut.
Lazimnya mereka yang mampu membabitkan istana dalam program yang di rancang adalah terdiri dari individu yang rapat atau mempunyai pertalian darah daging.
Bagi mereka, istana adalah perdu besar tempat mereka menumpang berteduh serta menyelamatkan diri dari ancaman mala petaka manusia yang cemburu terhadap dirinya. Kota yang memagar kawasan istana seolah-olah benteng untuk melindungi servival politik mereka selagi hayat dikandung badan.
Dikatakan pernah terjadi di negeri tertentu, istana dibabitkan dalam menjayakan majlis bercorak kebajikan di kawasan tertentu bagi menyampaikan kurniaan buah tangan kepada golongan marhain dan sebagainya, padahal program itu sebenarnya adalah agenda kempen pilihan raya di mana calon yang bertanding ialah individu itu sendiri.
Tidak ragu-ragu lagi, majlis seumpama itu tentunya menggunakan peruntukan besar kerajaan dan jentera penganjur juga mestilah membabitkan pegawai dan kakitangan kerajaan yang gaji dan elaun mereka dibayar dengan wang rakyat.
Kita jangan lupa beberapa tahun lepas, UMNO sendiri sebagai sebuah badan politik pernah menggunakan kawasan istana Johor untuk mengadakan perayaan ulang tahun penubuhannya (kalau tak silap saya) kononnya mengambil sempena penubuhannya di istana tersebut pada tahun 1946.
Soalnya, wajarkah mereka menggunakan istana (yang tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana parti politik) bagi menyambut perayaan tersebut. Kenapa pihak istana terpaksa membenarkan kegiatan politik berlangsung dalam kawasannya yang merupakan zon bebas dari politik kepartian itu? Apa rasional sebenarnya?
Ini soalan yang bermain dalam benak seluruh rakyat. Rakyat mengharapkan agar istana tidak mudah diperalatkan oleh golongan tertentu bagi menjayakan rancangan politik mereka demi menjaga imej kemuliaan istana di mata rakyat.
Dalam keadaan ahli politik sedang cemas dan lemas dilanda tsunami sekarang, ramailah yang ingin berpaut dipintu istana untuk menyelamatkn diri. Oleh itu, istana perlu hati-hati agar tidak terjebak dalam kancah politik mereka yang sedang dilanda masalah itu.
Rakyat juga menggesa golongan politik supaya tidak mengambil kesempatan menggunakan istana untuk tujuan tersebut. Dengan kata lain, jangan jadikan istana sebagai rakit untuk menuju ke destinasi politik mereka.
Kita tidak mahu istana terpaksa menanggung risiko cemuhan terbuka yang dilontar menerusi media maya dan sebagainya, sedangkan mereka yang menggunakan istana mengambil sikap cuci tangan atas apa yang terjadi, seolah-olah mereka tiada kena mengena dalam hal tersebut.
"
No comments
Post a Comment