'Tukar pucuk pimpinan bukan ubat pulihkan UMNO'


KOTA KINABALU 14 April - Peralihan pucuk pimpinan UMNO bukan satu jalan penyelesaian terbaik kepada semua masalah yang timbul selepas pilihan raya umum, baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Masidi Manjun berkata, pendekatan itu tidak menjanjikan setiap masalah dapat ditangani dengan baik, kerana tumpuan pada masa ini sepatutnya kepada usaha mengkaji serta membaiki kelemahan yang ada.

Katanya, fokus UMNO sekarang ialah untuk memulihkan kekuatan parti dan bukan menukar pemimpin atasan kerana hanya kehilangan sedikit sokongan atau kepercayaan rakyat pada pilihan raya umum lalu.

"Memaksa pemimpin berundur dengan anggapan ia dapat menyelesai masalah, hanya mencerminkan sikap kita yang suka mengambil jalan pintas apabila berhadapan dengan masalah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu perubahan dilakukan segera terhadap pucuk pimpinan parti jika tidak mahu UMNO hilang pengaruh atau kuasa.

Gesaan Muhyiddin itu turut disokong UMNO Johor, manakala seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mahukan bedah siasat kekalahan UMNO dibuat terlebih dahulu sebelum memutuskan perkara itu.

Masidi yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, sekiranya berlaku pertukaran pucuk pimpinan, tidak semestinya semua masalah parti mampu diselesaikan dalam sekelip mata.

"Ini bukan jalan penyelesaian yang terbaik dengan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan. Peletakan jawatan pemimpin tertinggi parti bukan satu ubat mujarab yang dapat menangani masalah parti sekelip mata.

"Sepatutnya kita dalam UMNO sama-sama akui kelemahan dan membaikinya, bukan dengan meletakkan beban kepada seorang individu sahaja. Semua pihak harus bertanggungjawab, hentikanlah sifat menyalahkan orang lain," katanya.

Menurutnya, adalah tidak adil meletakkan semua kesalahan pada bahu Presiden UMNO itu dan seharusnya semua pemimpin UMNO memegang janji dan ikrar taat setia yang dibuat selaku pemimpin tertinggi parti itu.

"Bukankah sebagai pemimpin parti kita telah berjanji untuk taat setia walau apa pun yang berlaku dan setiap masalah akan dihadapi bersama. Di mana kesetiaan kita sebenarnya," soalnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Karanaan.

Beliau turut melahirkan rasa hairan terhadap sesetengah pihak yang sebelum ini memuji Abdullah sebelum pilihan raya tetapi selepas UMNO dan BN gagal mengekalkan reputasinya, kekalahan itu diletakkan kepada Abdullah seorang.

"Sukar untuk saya terima kenyataan ini, sebabnya sebelum pilihan raya semuanya menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri dan memujinya setinggi langit.

"Namun, setelah UMNO dan BN kalah malah hilang empat buah negeri sekali gus, mereka yang menyatakan sokongan itu menyalahkan Pak Lah pula. Ini bukan satu budaya yang sihat atau baik untuk UMNO," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli-ahli UMNO sama ada dari peringkat bawah hingga ke atasan bermuhasabah terhadap kekalahan itu dan mencari jalan terbaik bagi memastikan UMNO kekal relevan.

No comments

Powered by Blogger.