Beri kami TV dan radio sendiri - Husam Musa
Johari Jaafar
Tue | Apr 15, 08 | 1:29:18 pm MYT
IPOH, 15 April (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa membidas Menteri Penerangan yang baru, Dato' Ahmad Sabery Chk yang menyifatkan Menteri Besar Selangor sebagai tamak kuasa apabila Tan Sri Khalid Ibrahim meminta Radio Selangor FM memberikan peruntukan masa satu jam seminggu bagi memboleh beliau dan Exconya menerangkan dasar-dasar pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat negeri itu.
"Siapa yang sebenarnya tamak kuasa dan gila kuasa, Umno/BN yang setiap hari menggunakan televisyen untuk kepentingan Umno dan BN dan tidak langsung memberikan ruang untuk parti-parti pembangkang menerangkan dasar perjuangan, sebaliknya memberikan gambaran yang jahat kepada rakyat, sebenarnya BN yang gilakan kuasa dan tamakkan kuasa," jelasnya.
Beliau yang mewakili Menter Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat berkata demikian di hadapan lebih 50,000 orang yang membanjiri Stadium Perak bagi mendengar amanat dari pimpinan Pakatan Rakyat.
BN telah menggunakan media elektrobik dan surat khabar arus perdana bagi memburuk-burukan Pakatan Rakyat, malah memutar belitkan kenyataan pimpinan Pakatan Rakyat, katanya.
"Rakyat sudah muak dengan gelagat Umno/BN, malah rakyat sudah hilang kepercayaan dengan media arus perdana yang tidak bersikap adil dalam membuat laporan, terutama sekali pada kempen pilihan raya umum ke-12 yang lalu," ujarnya.
Menurut beliau, sudah sampai masanya Kerajaan Pakatan Rakyat mempunyai siaran televisyen dan radio sendiri bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat di kelima-lima negeri yang dikuasainya.
Jesteru, beliau meminta Kerajaan Pusat khususnya Perdana Menteri dan Menteri Penerangan memberikan lesen kepada Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan dan mengendalikan siaran televisyen dan radio sendiri.
"Beri kami lesen untuk kami menerbitkan siaran televisyen dan radio sendiri agar segala maklumat dapat disampaikan kepada semua rakyat di kelima-lima negeri Pakatan Rakyat sebagai tanda negara ini benar benar mengamalkan demokrasi," jelasnya. - mns
No comments
Post a Comment