MB Selangor akan rasmikan mesyuarat agung DPIMS di Shah Alam esok


SHAH ALAM, 19 April (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan melancarkan program Muafakat Hartanah (MuHarta) sempena Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perdagangan Islam Malaysia Negeri Selangor (DPIMS) yang ke-11 pada 20 April ini di Wisma PKPS, Shah Alam.

Timbalan Pengerusi DPIMS, Mohammad Sahar Mat Din, dalam sidang media yang diadakan di pejabat Menteri Besar hari ini, melahirkan sukacita kerana majlis tersebut merupakan julung kali Menteri Besar merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan DPIMS, iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang telah ditubuhkan sejak 11 tahun lalu.

Menyentuh mengenai program MuHarta, katanya, MuHarta dicetuskan atas kesedaran betapa tertinggalnya umat Islam di Malaysia dalam pemilikan harta khususnya harta komersil.

Selain itu katanya, program yang dibentuk melalui pengembelingan idea pimpinan DPIMNS dan pakar dalam bidang hartanah dan pelaburan itu juga digarap melalui konsep pemuafakatan di kalangan ahli melalui pembelian aset-aset komersil melalui sebuah syarikat yang dimilik bersama.

Tambahnya, program MuHarta juga bertujuan mengimbangi pemilikan Melayu (Islam) yang jauh tercicir daripada pemilikan harta bukan bumiputera di Malaysia. Di samping itu katanya, MuHarta juga menyediakan kaedah pelaburan yang mendatangkan pulangan yang menarik, terjamin dan mampu disertai oleh semua peringkat.

Katanya, bagi mengendalikan serta merialisasi program ini, DPIMS telah mengaktifkan Konsortium Dagang Global Selangor Sdn Bhd sebagai penganjur, yang mana konsortium ini dimiliki oleh ahli-ahli Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

Katanya lagi, dengan 40 orang ahli DPIM sebagai pelabur MuHarta, projek pertama konsortium ini ialah pembelian bangunan komersil yang dalam pembinaan bernilai RM600,000. Ahli-ahli pelabur sehingga kini telah membuat pelaburan bulanan sebanyak RM20,000 dan dijangka bayaran penuh akan dilunaskan dalam tempoh 30 bulan tanpa sebaran pinjaman.

"Konsep MuHarta melalui pembelian bangunan ini seperti konsep 'main kutu'. Kita melihat konsep 'main kutu' ini boleh digunakan untuk pembelian hartanah tetapi dalam skala yang besar.

"Kami membeli bangunan tanpa pinjaman bank. Sebagai contoh dengan 40 orang ahli, setiap orang mengeluarkan RM1,000 sebulan. Jadi kami mempunyai RM40,000 sebulan. Untuk permulaan, kami membeli bangunan dalam pembinaan. Dengan cari inilah kami berpendapat, umat Islam dapat memiliki harta komersil. Jika bersendirian, kita mungkin tidak mampu memiliki bangunan bernilai RM1 juta," katanya.

Sehubungan itu katanya, diharapkan program ini dapat dikembangkan di peringkat yang lebih luas lagi oleh ahli-ahli DPIM.

Sementara itu katanya selain program MuHarta, DPIMS juga melancarkan program 'business matching' yang melibatkan lebih 20 orang usahawan DPIM yang akan membuka gerai pameran bagi memberi ruang untuk bertemu dengan bakal-bakal prospek.

"Ahli-ahli DPIM terlibat dalam pelbagai bidang seperti sektor hartanah, kesihatan, perkhidmatan dan latihan, perhotelan, termasuk perniagaan 'real rewards'.

"Kami mengharapkan seluruh ahli perniagaan di Selangor dapat hadir pada hari tersebut bagi mengadakan perundingan dengan usahawan kami agar kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada program ini," katanya. - mns

No comments

Powered by Blogger.