Pertandingan lanskap di Kelantan bawa identiti baru

KOTA BHARU, 20 April (Hrkh) ? Pertandingan lanskap yang diadakan setiap tahun sempena Pesta Flora di Kelantan membawa identiti baru dalam industri lanskap di negara ini.

Isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak berkata, pertandingan lanskap di antara pihak berkuasa tempatan seluruh Kelantan berjaya memperlihatkan ciri-ciri tradisional warisan Melayu.

Katanya, generasi muda dapat melihat keunikan yang ada pada orang Melayu terhadap kemahiran mereka cipta hiasan halaman dan dalam rumah.

Menurutnya keindahan itu tidak dapat dilihat tanpa adanya pertandingan seperti yang dianjurkan pada Pesta Flora yang diadakan sempena sambutan ulangtahun hari keputeraan Sultan Kelantan.

?Pesta flora yang diadakan tahun ini bertemakan ?Landskap Identiti Bangsa? telah berjaya menarik pengunjung seramai 55,000 orang sekaligus mencapai sasaran awal pihak penganjur,? katanya pada satu program di sini, baru-baru ini.

Pesta Flora Negeri Kelantan 2008 diadakan di Taman Orkid Tengku Anis, Padang Tembak. Ia berlangsung selama 10 hari bermula 31 Mac lalu. Pesta tahun ini bertemakan ?Keindahan Flora, Kedamaian Rakyat?.

Juara keseluruhan bagi Pesta Flora itu ialah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Tuan Sabariah juga berkata, kehadiran pengunjung melebihi 50,000 orang memberi kesan positif kepada usaha menarik pelancong luar sempena Tahun Melawat Kelantan 2008. - mj

No comments

Powered by Blogger.