SELAMATKAN PAKATAN RAKYAT
Oleh IkangDukang
"
Belajarlah daripada pengalaman. Apabila saya baca beberapa pendapat dalam blog dan laman web, saya nampak unsur yang boleh menggagalkan Pakatan Rakyat kembali wujud. Ada pimpanan peringkat negeri, exco, peringkat kawasan dan akar umbi mula menyuarakan isu Negara Islam sehingga digunakan oleh media massa untuk memperlagakan parti-parti dalam PR. Ada juga suara yang mahu PAS menjadi tunjang Pakatan Rakyat.
Apakah maksud ”tunjang” ini? Apakah kita ingin wujud kecurigaan dengan PKR dan DAP? Dari segi logik, PKR paling banyak kerusi Parlimen dan DS Anwar Ibrahimlah yang berjaya menyatupadukan pembangkang serta berusaha keras ke sana ke sini dalam kejayaan ini. Kalau semua ini tidak ditangani segera oleh Majlis Syura maka mungkin nanti terlambat untuk mengubatinya.
Bagi pendapat saya,
1. Ahli PAS mesti ikut keputusan Majlis Syura. Jangan mudah guna pendapat sendiri. TG Haji Hadi bercakap dengan hujah dan hasil rumusan pandangan majlis syura. Jadi janganlah kita rasa, TG Haji Hadi bercakap ikut pendapatnya sendiri. Contohnya, apabila dipilih tema Negara Berkebajikan, bukan kita buang Negara Islam. Ini perlu disedari. Bukankah Musyrikin Mekah fobia dengan ” Rasulullah” maka perkataan itu dipersetujui oleh Nabi s.a.w. agar tidak ditulis dalam Perjanjian Hudaibiyah. Apakah, Nabi berhenti berperanan sebagai Rasulullah dengan menerima cadangan musyrikin itu? Tidak. Ini namanya bilhikmah.
2. Para pemimpin PAS sama ada exco dan pemimpin pusat yang lain jangan mudah ’mesra-wartawan’. Asal wartawan hulur mic, kita bercakap, mengulas dan sebagainya. Kita bimbang nanti, isunya dimanipulasikan oleh media. Serahkan sahaja kepada pucuk pimpinan untuk mengulas.
3. Pemimpin PAS perlu bijak dengan puak DAP yang fobia Negara Islam. Renung kembali sirah Nabi s.a.w. yang nampak merugikan tetapi akhirnya ternyata menguntungkan perjuangan Islam. Janganlah dirosakkan peluang terbuka untuk memerintah negara ini. Peluang kini lebih terbuka berbanding pada tahun 1999. Kalau ada rezeki, mungkin empat bulan dari sekarang – tak sampai PRU 13. PAS perlu menjadi sebahagian daripada parti yang memerintah negara.
Apabila kita perintah negara, peluang terbuka bagi kita untuk:-
1. Mewujudkan SPR yang adil dan telus. Reformasi SPR memudahkan urusan penggunaan dakwat kuku, penghapusan undi pos, pembersihan daftar pemilih dari pengundi hantu dan pengundi berganda, persempadanan semula yang lebih adil dan sebagainya.
2. Mewujudkan media cetak dan media eletronik yang lebih adil dan bebas. Tiada lagi monopoli Tv dan radio dan akhbar. Rakyat akan dapat didedahkan dengan maklumat, berita dan penjelasan yang tepat sama ada tentang perlaksaan Islam dan isu-isu politik dan penjelasan Negara Islam serta hukum-hakamnya.
3. Menghapuskan pelbagai akta yang bercanggah dengan keadilan seperti Akta Mesin Cetak, OSA, Akta Polis, AUKU, ISA dan sebagainya. Dengan terhapusnya akta-akta ini, insya Allah terhapuslah penderitaan yang ditanggung oleh rakyat dan rakyat mendapat haknya kembali mengikut perkara yang digariskan dalam Perlembagaan Negara.
4. Memesatkan tradisi ilmu melalui pengimarahan masjid surau, siaran-siaran Tv dan radio sehingga rakyat menjadi lebih celik agama.
5. Mewujudkan reformasi badan kehakiman, polis dan meletakkan BPR di bawah kuasa Parlimen. Ini sangat penting dalam membangunkan sebuah negara yang adil, bebas rasuah dan berintegriti.
Sebenarnya sangat besar dan banyak faedahnya kepentingan Islam ditegakkan apabila PAS dapat memerintah negara dalam gagasan Pakatan Rakyat. Justeru itu, tolonglah jangan kita tersilap langkah sehingga terkuburnya pakatan ini. Kalau kita gagal hari ini, entah bila pula peluang terhidang ini dapat diraih semula. Kegagalan Pakatan Rakyat bererti BN berjaya mengukuhkan semula cengkamannya. Sekian.
No comments
Post a Comment